Selasa, 3 Mei 2016 | 6:20pm

3 warga asing, 1 warga tempatan hilang di perairan Kudat

KUDAT: Empat termasuk tiga pelancong, masing-masing dua warga Sepanyol dan seorang dari China, dilaporkan hilang di perairan Kudat sejak semalam.

Keempat-empat mangsa, termasuk seorang warga tempatan, dilaporkan hilang ketika menaiki bot dalam perjalanan pulang dari Pulau Balambangan di Banggi ke Tanjung Simpang Mengayau, dekat sini, lewat petang semalam.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata laporan kehilangan empat individu terbabit dibuat oleh pemilik bot selepas mereka tidak tiba di Simpang Mengayau sehingga pagi tadi, selain gagal dihubungi.

Katanya, empat individu terbabit masing-masing dua lelaki dan dua perempuan bertolak dari Kampung Batu Sireh di Pulau Balambangan kira-kira jam 5.30 petang menaiki sebuah bot gentian dan sepatutnya tiba di Simpang Mengayau jam 8 malam.

"Bagaimanapun, mereka gagal dihubungi dan ia mendorong pemilik bot membuat laporan polis serta menghubungi pihak berkuasa.

"Kita melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 2.20 petang tadi," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mohd Zubil berkata, operasi SAR membabitkan tiga bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kudat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Pihak berkuasa turut menggunakan kelengkapan radar APMM yang berpusat di Pulau Balambangan bagi usaha mengesan bot berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan bot berkenaan mengalami kerosakan disebabkan keadaan cuaca buruk dan laut bergelora," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X