Rabu, 4 Mei 2016 | 9:55am

Zuckerberg gesa rakyat Brazil desak kerajaan jangan sekat internet

Mark Zuckerberg
Mark Zuckerberg

SAO PAULO: Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, menggesa rakyat Brazil mendesak khidmat mesej WhatsApp tidak akan disekat lagi selepas mahkamah rayuan menarik balik penggantungan kedua terhadap aplikasi itu dalam masa lima bulan.

Dalam kenyataan berbahasa Inggeris menerusi akaun Facebook miliknya, pengasas media sosial itu menggesa rakyat Brazil berkumpul di luar Kongres di Brasilia pada jam 6.00 petang waktu tempatan hari ini untuk menyokong perundangan yang menghalang khidmat internet disekat.

Perkhidmatan WhatsApp disekat di Brazil pada jam 2.00 petang Isnin lalu selepas hakim di negeri Sergipe mengarahkan lima pengendali tanpa wayar negara itu menyekat akses kpeada aplikasi berkenaan selama 72 jam.

Sekatan ke atas WhatsApp dan perkhidmatan telefon suara internet bagi telefon pintar ditarik balik selepas 24 jam apabila hakim mahkamah rayuan menyokong injuksi dikemukakan peguam syarikat itu, kata mahkamah dalam kenyataan.

Sekatan menyebabkan 100 juta pengguna terjejas.

"Anda dan rakan boleh membantu memastikan perkara ini tidak berulang lagi, dan saya berharap anda boleh membabitkan diri," katanya dalam Facebook.

Beliau juga menyiarkan pautan kepada petisyen, menyifatkan usaha menyekat komunikasi sebagai 'amat menakutkan dalam demokrasi.' - Reuters

Berita Harian X