Rabu, 4 Mei 2016 | 6:08pm

7 ditahan kes remaja dirogol, diugut senjata api

ALOR SETAR: Tujuh lelaki ditahan susulan kes seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dirogol dan diugut menggunakan senjata api yang dilapor berlaku di Kulim, dekat sini, pada Khamis minggu lalu.

Selain suspek utama berusia lingkungan 40-an yang juga bapa tiri mangsa, enam lagi lelaki ditahan susulan penemuan senjata api jenis Pietro Beretta bersama tiga peluru hidup jenis 9mm yang didakwa digunakan untuk mengugut remaja perempuan berkenaan ketika kejadian itu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Kedah, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nashir Ya (kiri) bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan Operasi Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Kedah, Superintendan, Rahimi Raais (kanan) menunjukan sepucuk pistol jenis semi auto dan tiga butir peluru yang dirampas dalam serbuan di Kampung Siam, Sungai Seluang. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata suspek utama yang disahkan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes merusuh dan samun itu ditahan di rumahnya di Lunas, dekat sini, kira-kira jam 2.10 pagi Jumaat lalu, hampir empat jam selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Lunas.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Khamis lalu, mangsa mendakwa bukan sahaja dirogol bapa tirinya, malah turut diugut tidak mendedahkan perbuatan itu oleh lelaki terbabit menggunakan sepucuk pistol.

"Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Tiram, dekat Kulim sebelum sepucuk pistol semi-automatik jenis Pietro Beretta bersama tiga peluru hidup jenis 9mm yang ditemui di dalam premis itu dirampas.

"Dalam serbuan itu kita turut menahan enam lelaki berusia antara 17 dan 24 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan memiliki pistol dan peluru," katanya ketika sidang media di sini sebentar tadi.

Mohd Nashir berkata, berdasarkan siasatan mangsa yang hanya tinggal berdua dengan bapa tirinya dikatakan dirogol sejak berusia sembilan tahun lagi, namun hanya melaporkannya selepas diugut menggunakan pistol oleh suspek Khamis lalu.

"Buat masa sekarang kita sedang siasat sama ada pistol yang dirampas itu pernah digunakan untuk melepaskan tembakan sebelum ini atau mungkin mempunyai kaitan dengan mana-mana kes yang pernah dilaporkan, melalui ujian balistik," katanya.

Berita Harian X