Rabu, 4 Mei 2016 | 7:24pm

PAS yakin takluk empat kawasan

PETUGAS jentera PAS memasang bendera Parti PAS sempena pilihan raya Negeri Sarawak ke-11 di Betong Maro, Betong, Sarawak. - Foto Syarafiq Abd Samad

BETONG: PAS yakin menawan empat daripada 11 kerusi dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) kali ini.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas meneliti potensi gerakan parti itu di beberapa kerusi dipertandingkan.

"Setakat ini ada empat kawasan yang saya lihat berpotensi (untuk menang) dan salah satunya adalah Beting Maro.

"Saya harap jentera parti akan tambah 'speed' (kelajuan) bekerja serta terus memantau pengundi menjelang hari mengundi," katanya ketika ditemui di Markas PAS Beting Maro di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Hamidah Mokhtar.

Hamidah akan menentang calon BN DUN Beting Maro, Razaili Gapor dan calon Parti Amanah Negara (PAN), Andre Zulkarnaen Hamden pada PRN-11.Ditanya mengenai bentuk pembangunan yang akan dibawa sekiranya menang, Tuan Ibrahim berkata banyak isu tempatan yang perlu diselesaikan.

"Dalam konteks politik, kalau kita dapat mengimbangi kuasa atau menambahnya (kuasa), ia adalah sesuatu yang sangat baik."Sarawak ini sangat banyak isu tempatan. PAS akan berperanan sebagai parti 'check and balance'," katanya.

DUN Beting Maro mempunyai 10,582 pengundi dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada kaum Melayu Melanau.

Pada PRN 2011, PAS yang diwakili Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus tewas kepada Razaili dengan majoriti undi sebanyak 391.

Berita Harian X