Khamis, 5 Mei 2016 | 10:18pm

RHB sasar 400,000 pengguna perbankan mudah alih

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) dan Pengarah Eksekutif, Kumpulan Perbankan Runcit RHB Banking Group, U Chen Hock (kanan) bergambar dengan aplikasi pelancaran baru semasa pelancaran permohonan Sesiapa RHB Pay di Life House, Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri) dan Pengarah Eksekutif, Kumpulan Perbankan Runcit RHB Banking Group, U Chen Hock (kanan) bergambar dengan aplikasi pelancaran baru semasa pelancaran permohonan Sesiapa RHB Pay di Life House, Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi.

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) menyasarkan peningkatan pengguna perbankan mudah alih kepada 400,000 menjelang pertengahan tahun depan, berbanding 300,000 pada masa ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata sasaran peningkatan itu akan dipacu oleh langkah bank menambahbaik kemudahan perbankan mudah alih sedia ada 'RHB Now', dengan memperkenalkan ciri baharu, 'RHB Pay Anyone'.

Katanya, antara lain ciri baharu berkenaan membolehkan pelanggan memindahkan wang kepada sesiapa sahaja menggunakan nombor telefon, emel atau akaun Facebook tanpa memerlukan nombor akaun bank.

"Menerusi pengenalan ciri baharu itu yang kali pertama diperkenalkan di negara ini, kami optimis mampu menarik lebih ramai pengguna perbankan mudah alih, sekali gus mencapai sasaran 400,000 pengguna menjelang pertengahan 2017.

"Sasaran peningkatan itu juga bersandarkan trend pengguna perbankan mudah alih di Malaysia yang menunjukkan peningkatan 23.5 peratus pada tahun lalu berbanding hanya 5.3 peratus pada 2011," katanya pada majlis pelancaran ciri perbankan mudah alih baharu RHB Now di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbankan Runcit Kumpulan Perbankan RHB, U Chen Hock.

Mengulas lanjut, Khairussaleh berkata, menerusi ciri perbankan mudah alih baharu itu, penerima mempunyai pilihan untuk menerima transaksi menerusi akaun RHB atau mana-mana akaun bank tempatan.

Katanya, langkah untuk menyempurnakan transaksi itu juga dikurangkan sebanyak 20 peratus.

"Ia pencapaian terbaharu RHB dalam dunia teknologi digital dan komitmen kami untuk menjadi bank digital pilihan bagi generasi masa depan," katanya.

Info

* RHB Now boleh dimuat turun menerusi peranti Android dan iOS.

* RHB Pay Anyone, ciri terbaharu dalam pasaran Malaysia yang membolehkan pemilik akaun memindahkan wang tanpa menggunakan nombor akaun

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X