Khamis, 5 Mei 2016 | 10:36pm
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan menunjukkan pingat dan piala yang menjadi rebutan para peserta yang menyertai KL Tower International Towerthon Challenge 2016 pada sidang media di Menara Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Towerthon KL sasar 3,500 peserta

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan (berdiri, enam kanan) bergambar bersama wakil-wakil penaja KL Tower International Towerthon Challenge 2016 pada sidang media di Menara Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL Edisi Ke-16 menyasarkan 3,500 penyertaan daripada pelari marathon tempatan dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, yakin jumlah itu dapat dicapai selepas tarikh tutup penyertaan 8 Mei ini, berikutan sambutan hangat daripada peminat acara tahunan itu.

"Tahun lepas, kita menerima 3,200 penyertaan tempatan dan luar negara.

"Setakat ini, kita menerima hampir 200 penyertaan daripada peserta luar negara termasuk dari Kenya, Filipina, Australia, Peranchis, Jerman, Indonesia, Amerika Syarikat dan Thailand," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak penganjuran kali pertama pada 1998, acara itu menerima banyak penyertaan daripada peminat sukan marathon yang ingin mencabar kemampuan fizikal dan mental masing-masing dalam menawan puncak pencakar langit itu.

KL Towerthon yang menawarkan hadiah berjumlah RM45,000, akan berlangsung pada 15 Mei ini dengan bermula dari kawasan parkir terbuka Menara Kuala Lumpur dan berakhir di Mega View Dewan Banquet di Menara 3.

Peserta akan mencabar kemampuan diri berlari menaiki bukit sejauh 800 meter dan meneruskan larian dengan mendaki 2,058 anak tangga pada ketinggian 288 meter dari paras laut.

Meor Shahril berkata, bagi edisi kali ini yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan Menara Kuala Lumpur, peserta individu lelaki dan wanita Malaysia yang mencatat rekod terbaik akan membawa pulang wang tunai tambahan sebanyak RM1,000 dan emas dinar.

"Rekod terbaik yang dicatatkan oleh peserta negara setakat ini adalah 13 minit 13 saat bagi peserta lelaki manakala peserta wanita mencatatkan masa terbaik 14 minit 51 saat. Kita harap peserta tempatan kita akan lebih kompetitif tahun ini," katanya.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki (18 hingga 39 tahun), junior veteran lelaki (40 hingga 49 tahun), senior veteran wanita (50 tahun ke atas), terbuka wanita (18 hingga 39 tahun), veteran wanita (40 tahun ke atas), junior lelaki (13 hingga 17 tahun), junior perempuan (13 hingga 17 tahun) dan orang kurang upaya (18 tahun ke atas). - BERNAMA

Berita Harian X