Jumaat, 6 Mei 2016 | 3:23pm

Isteri, anak Ahli Parlimen Kuala Kangsar ke Sarawak

IBU kepada Wan Mohammad Khair-il, Rahmah Abdullah (dua dari kiri) menonton siaran langsung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai kehilangan sebuah helikopter yang membawa lima penumpang termasuk anaknya hari ini. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, akan berlepas ke Kuching, Sarawak, berikutan penemuan serpihan helikopter dinaiki suaminya.

Datin Mastura Mohd Yazid, 55, meninggalkan kediamannya di Taman Setiawangsa di sini, untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ditemani anak lelakinya, Wan Iskandar, 21, jam 11.45 pagi.

Mastura kelihatan sedih ketika memeluk bapanya, Datuk Mohd Yazid Baba, yang mengiringinya ke kereta.

Beliau juga sempat bertanya kepada pemberita mengenai perkembangan terbaru insiden berkenaan.

"Ada kamu mendengar apa-apa berita?" soalnya dalam nada sedih.

Sementara itu, pegawai khas Wan Mohammad Khair-il Anuar, Abdul Wahab Osman, berkata anak ketiga Wan Mohammad Khair-il, Wan Imar, 24, dijangka tiba dari London malam ini.

"Dua lagi anak lelakinya, Wan Emir, 26, dan Wan Amar, 19, sedang menduduki peperiksaan di London," katanya.

Berita Harian X