Sabtu, 7 Mei 2016 | 12:05am

Malas gosok gigi undang penyakit bahaya

MALAS menggosok gigi terutama selepas makan dan sebelum tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahaya yang mengancam kesihatan serta nyawa. - Foto hiasan
MALAS menggosok gigi terutama selepas makan dan sebelum tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahaya yang mengancam kesihatan serta nyawa. - Foto hiasan

MALAS menggosok gigi terutama selepas makan dan sebelum tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahaya yang mengancam kesihatan serta nyawa.

Ini termasuklah penyakit jantung, pembuluh darah tersumbat yang mengakibatkan strok, pneumonia, gangguan pernafasan, radang pada rahang serta menyebabkan selulit pada wajah.

Perunding Pergigian Restoratif, Klinik Pakar Pergigian Dr Kam, Dr Amri Empol, berkata bakteria yang terkumpul di dalam mulut yang tidak dibersihkan akan masuk ke dalam salur darah dan melekat pada organ seperti jantung.

"Sekiranya seseorang itu ada masalah gusi atau gigi tidak dibersihkan, terdapat bakteria yang dikenali sebagai bakteria bergred rendah atau bakterimia yang berkumpul di situ.

"Apabila ia masuk ke dalam salur darah, seterusnya ke jantung di mana keadaan jantung yang memang sudah lemah akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Katanya bakteria yang melekat kepada jantung akan membentuk koloni di kawasan berkenaan, membiak dan seterusnya menyebabkan kegagalan jantung dan mengancam nyawa seseorang.

Merebak dalam organ badan

MENYIKAT gigi dengan menggunakan `floss' dapat mengeluarkan makanan yang terselit di celah gigi dan mencegah pengumpulan plak yang boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat apabila memasuki aliran darah. - Foto hiasan
MENYIKAT gigi dengan menggunakan `floss' dapat mengeluarkan makanan yang terselit di celah gigi dan mencegah pengumpulan plak yang boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat apabila memasuki aliran darah. - Foto hiasan

Bakteria ini juga akan mengikut aliran darah dan berhenti pada organ lain seperti buah pinggang dan paru-paru.

Bagaimanapun, Dr Amri berkata, memberus gigi saja tidak mencukupi dan menjamin keseluruhan kawasan di dalam mulut bersih.

"Bagi mendapatkan mulut yang sihat dan bersih dalam jangka panjang, amat penting untuk mempunyai rejim lengkap penjagaan mulut secara rutin iaitu memberus, menyikat dan berkumuh dengan pembersih mulut.

"Memberus gigi saja tidak mencukupi kerana tidak semua kawasan di dalam mulut dapat dicapai oleh berus gigi terutama di bahagian belakang hujung gigi," katanya.

Katanya menyikat gigi dengan menggunakan 'floss' dapat mengeluarkan makanan yang terselit di celah gigi dan mencegah pengumpulan plak yang boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat apabila memasuki aliran darah.

Selepas gigi disikat, tindakan seterusnya adalah dengan membersihkan keseluruhan mulut dengan menggunakan cecair berkumuh yang mengandungi antibakteria.

Dr Amri menasihatkan rutin memberus, menyikat dan berkumuh dengan cecair antibakteria perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu setiap pagi dan sebelum tidur pada sebelah malam.

Berus berkumuh, bersih sempurna

BERKUMUH dengan cecair pencuci mulut dapat membunuh bakteria pada keseluruhan gigi. - Foto hiasan
BERKUMUH dengan cecair pencuci mulut dapat membunuh bakteria pada keseluruhan gigi. - Foto hiasan

Bagaimanapun, memberus gigi sebaiknya turut dilakukan selepas makan tengahari dan berkumuh.

"Berkumuh dengan cecair pencuci mulut dapat membunuh bakteria pada keseluruhan gigi terutama pada celah gigi dan gusi berbanding sekadar memberus dan menggunakan floss saja.

"Selepas berkumuh, pastikan anda tidak makan sebarang makanan lagi terutama sebelum tidur kecuali anda cukup rajin untuk mengulangi memberus, menyikat dan berkumuh," katanya.

Katanya anggapan menggunakan berus gigi berbulu kasar lebih baik adalah salah kerana ia boleh merosakkan gigi dan gusi.

Sebaliknya gunakan berus gigi lembut dan elakkan memberus dengan kasar kerana ia boleh menghakis gigi seterusnya menyebabkan akar gigi terdedah.

Gigi sensitif, ngilu

GIGI menjadi sensitif dan ngilu apabila terkena makanan panas atau sejuk. - Foto hiasan
GIGI menjadi sensitif dan ngilu apabila terkena makanan panas atau sejuk. - Foto hiasan

Ini menyebabkan gigi menjadi sensitif dan ngilu apabila terkena makanan panas atau sejuk sehingga hilang nikmat makan.

"Sekali mengalami gigi sensitif, selamanya ia akan sensitif dan masalah ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh mengganggu kehidupan seharian dan tidak selesa.

"Punca lain gigi sensitif adalah disebabkan terlalu banyak makan makanan masam seperti jus oren pada waktu pagi kerana ia boleh menghakis gigi," katanya.

Katanya individu yang tidak menjalani rawatan 'scaling' dalam tempoh melebihi dua hingga tiga tahun juga boleh mengalami gigi terhakis kerana plak terlalu tebal untuk dikeluarkan dan dinasihatkan menjalani scaling secara berperingkat bagi mengelakkan gigi sensitif.

Info

Kesan tidak membersihkan gigi;

1. Pembuluh darah tersumbat

Malas menjaga kebersihan gigi dan gusi juga membuat plak berkumpul di dinding pembuluh darah mengakibatkan aliran darah menjadi lebih lambat atau berhenti sepenuhnya.

2. Strok

Apabila darah tersumbat, aliran darah ke otak pun terganggu menyebabkan oksigen ke otak berkurangan dan menjadi punca strok.

3. Gusi berdarah

Jangkitan pada tulang yang menyokong gigi boleh berlaku sekiranya mulut jarang dibersihkan menyebabkan gusi mengalami pendarahan.

4. Pneumonia

Pneumonia atau radang paru-paru akibat jangkitan pada pembuluh darah yang terjadi.

5. Sepsis

Sepsis adalah tindakbalas sistem imun berlebihan terhadap jangkitan yang terjadi pada tubuh menyebabkan radang pada tubuh dan pembekuan darah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X