Sabtu, 7 Mei 2016 | 8:45pm
MISHA dan Liza ketika menjayakan sesi latihan segmen persembahan di PICC, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

ABPBH 29: Misha, Jamal, Liza Hanim jayakan segmen tribute

PUTRAJAYA: Penyanyi, Misha Omar, 34, berbangga apabila dapat berkongsi pentas bersama dua penyanyi terkemuka, Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim dalam segmen tribute untuk komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Ketiga-tiganya bakal mempersembahkan lagu ciptaan komposer terbabit pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, esok.

Misha berkata, beliau teruja untuk menyanyikan antara karya hebat dihasilkan oleh pencipta lagu berkenaan, Tiada Lagi Tangisan, pada acara yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam.

Adnan meninggal pada 18 Mac lalu akibat serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang pada usia 57 tahun.

Lagu berkenaan dimuatkan dalam album Misha, Aksara, yang diterbitkan pada 2004. Ia kemudian dinyanyikan semula oleh Aishah menerusi album Kurnia (2006).

"Arwah ialah figura yang memainkan peranan penting dalam membuka jalan untuk saya mencipta nama di arena seni. Saya banyak terhutang budi kepadanya, yang boleh diibaratkan seperti bapa saya sendiri.

"Segmen penghargaan mengenang arwah dilihat sebagai usaha murni ABPBH 29 bagi mengimbas kembali karya kreatifnya sebagai penggiat seni. Saya juga berbesar hati kerana diberikan peluang menjayakan persembahan bersama-sama 'otai' dalam bidang nyanyian," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu menjayakan latihan persembahan di PICC, petang tadi.

Misha pernah beberapa kali menghantarkan pentas malam kemuncak anugerah berprestij terbabit, antaranya bersama-sama Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza pada ABPBH 2003, menyampaikan medley lagu Uji Rashid pada ABPBH 2004 dan berduet bersama Jaclyn Victor menyanyikan lagu Cinta pada ABPBH 2006.

Selain Misha, Liza dan Jamal, segmen persembahan pada kali ini akan turut menampilkan Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Hazami, Siti Nordiana, Estranged, Manifesto, Kaka, Waris, Ebby Yus, Zulin, Acong, Ir Radzi, Sahri AF, Isyana Sarasvati dan ramai lagi.

Berita Harian X