Ahad, 8 Mei 2016 | 12:00am
BAUCAR Buku 1Malaysia (BB1M).

Hati-hati saranan Skim Wajib Beli

PENGARAH Urusan PTS Media Group Sdn Bhd, Arief Hakim Sani Rahman.

KUALA LUMPUR: Saranan supaya kerajaan mewujudkan insentif Skim Wajib Beli untuk membantu industri buku seperti Skim Wajib Tayang dalam industri filem menerima reaksi berhati-hati di kalangan penerbit.

Ini kerana mereka tidak mahu skim menerima nasib sama seperti Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang mengalami ketirisan, selain bimbang kesan negatif pemberian subsidi kepada industri buku dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, penerbit tetap mahukan dasar kukuh diwujudkan dengan segera bukan sahaja menjaga kebajikan mereka, bahkan dalam memastikan industri buku berdaya saing dan berkembang.

Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn Bhd, Arief Hakim Sani Rahman, berkata beliau tidak mahu saranan supaya kerajaan membeli sekurang-kurangnya 3,000 naskhah bagi setiap satu judul mengalami ketirisan.

PENGARAH SK Publication, Siti Rosmizah Semail.. - Foto Rohanis

Sambut baik saranan

"Saya menyambut baik saranan itu kerana ia akan memberi faedah kepada penerbit di negara ini tetapi mekanisme pelaksanaannya perlu difikirkan sebaik-baiknya supaya tidak memberi imej yang sangat buruk kepada industri buku.

"Saya tidak mahu skim itu mengalami ketirisan seperti BB1M yang menyaksikan 80 peratus daripada RM325 juta setahun diperuntukkan kerajaan tidak mengalir semula kepada industri buku," katanya BH di sini, semalam.

Ahad lalu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hasan Hamzah menyarankan kerajaan untuk mewujudkan Skim Wajib Beli untuk mengelakkan penerbit gulung tikar kerana buku tidak terjual.

Arief Hakim berkata, pada masa ini ada skim pembelian buku secara terus daripada pengarang yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang mirip saranan Skim Wajib Beli.

"Saya rasa skim pembelian PNM yang banyak membantu pengarang tempatan ini, sewajarnya dikembangkan pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SR Publication, Siti Rosmizah Semail, berkata meskipun beliau menyambut baik saranan itu sebagai penerbit tetapi menganggapnya tidak dapat membantu industri buat jangka masa panjang.

Katanya, skim itu bukan sahaja boleh mewujudkan lambakan karya tidak berkualiti, selain memunculkan penerbit baharu kerana mengetahui dapat memperoleh 'wang segera.'

"Saya rasa kaedah yang lebih baik ialah penerbit bersatu dan mengehadkan penerbitan dengan menerbitkan karya terbaik sahaja kerana ketika ini, ribuan judul diterbitkan setiap bulan sehingga berlaku lebihan penawaran yang menyebabkan lambakan yang menyebabkan lambakan," katanya.

Berita Harian X