Ahad, 8 Mei 2016 | 12:04am
SUASANA di stesen kereta api Beaufort. - Foto Lano Lan
PEMANDU kereta api menggunakan kecekapannya mengemudikan kereta api di laluan mencabar berhampiran tebing Sungai Padas. - Foto Lano Lan
KEADAAN gerabak kereta api bagi laluan Beaufort-Tenom yang sentiasa sesak dengan penumpang. - Foto Lano Lan

Meneroka keindahan pedalaman Sabah dengan kereta api

Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd (TNBX), Ir Nirinder Singh Johl (tiga dari kanan) bertukar MoU bersama Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid. MoU disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (tengah).

KERETA api antara Beaufort dengan Tenom di pedalaman Sabah menjadi pengangkutan penting di negeri ini sejak lebih seabad lalu kepada penduduk setempat.

Tanpa jalan raya, perkampungan di sepanjang Sungai Padas, di antara kedua-dua daerah itu bergantung sepenuhnya kepada kereta api untuk melakukan pelbagai urusan.

Selain memudahkan perjalanan, perkhidmatan kereta api juga menjadi nadi penting mengangkut hasil pertanian, bahan binaan dan pelbagai barangan keperluan penduduk.

Bagi pelancong atau pengembara, menaiki kereta api itu memberikan pengalaman mengujakan apabila merentasi laluan berliku di tebing Sungai Padas dan celah bukit Banjaran Crocker.

Ia juga satu-satunya pengangkutan yang membawa penggemar sukan lasak menuju ke destinasi berakit yang popular di Sabah iaitu di jeram Sungai Padas di Kampung Pangi, Tenom.

Bagi penduduk setempat, perkhidmatan yang bermula dengan kereta api berkuasa wap pada zaman penjajah hingga menggunakan diesel pada hari ini lebih dikenali dengan panggilan Injin Puput.

PENUMPANG kereta api Beaufort-Tenom melihat pemandangan Sungai Padas di sepanjang perjalanan. - Foto Lano Lan

KEDUDUKAN sebahagian landasan kereta api Beaufort-Tenom di tepi tebing Sungai Padas. - Foto Lano Lan

Berhenti di setiap hentian kecil

Penulis bersama jurugambar, Lano Lan, baru-baru ini berpeluang menaiki perkhidmatan yang dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) itu dan melihat kepentingannya kepada penduduk dan sektor pelancongan di Sabah.

Bertolak dari stesen Beaufort jam 7.50 pagi dengan tambang RM2.75 seorang, perjalanan mengambil masa hampir dua jam setengah untuk tiba di Tenom dengan jarak kira-kira 48 kilometer.

Kereta api menggunakan lokomotif diesel lama dengan beberapa gerabak penumpang dan barangan penuh dengan penumpang, kebanyakannya pelancong menuju ke destinasi berakit di Kampung Pangi, Tenom.

Sebelum tiba di Tenom, perkhidmatan itu berhenti di beberapa stesen kampung untuk menurun dan mengambil penumpang bermula dengan stesen Saliwangan Baru dan selepas itu stesen Halogilat, dalam daerah Beaufort.

Stesen seterusnya ialah Rayoh dan Pangi di Tenom, namun menariknya perkhidmatan kereta api bagi laluan Beaufort - Tenom boleh berhenti di mana-mana perhentian kecil seperti hentian bas, malah turut berhenti jika ditahan penduduk sama seperti perkhidmatan bas.

KEDUDUKAN sebahagian landasan kereta api Beaufort-Tenom di tepi tebing Sungai Padas. - Foto Lano Lan

Landasan hampir gaung

Sepanjang perjalanan, pemandangan indah Sungai Padas yang diapit bukit dan hutan Banjaran Crocker menjadi sajian yang mengasyikkan.

Lebih mencabar, ada ketikanya kereta api melalui landasan yang terlalu hampir dengan tebing sungai dan gaung yang mendebarkan selain selekoh tajam yang menyebabkan kereta api bergerak perlahan.

Sesuai dengan kepentingan kereta api itu sebagai nadi pengangkutan penduduk, ruang dalam gerabaknya turut menjadi tempat penduduk berkumpul sambil berniaga bagi menambah pendapatan.

Jika bernasib baik, pengunjung mungkin dapat melihat penduduk menjual ikan sungai dan ternakan seperti ayam selain buah-buahan dan sayuran kampung dalam gerabak.

Bagi penumpang yang ingin berulang alik, perkhidmatan balik dari Tenom ke Beaufort bertolak jam 1 tengah hari kecuali pada hari Ahad jam 12.30 tengah hari.

Pengunjung ke ke Tenom juga boleh menaiki kereta api dari stesen Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang bertolak jam 7.45 pagi sebelum bertukar kereta api dari stesen Beaufort dengan mengambil kereta api ke Tenom yang bertolak jam 1.30 tengah hari.

PELANCONG asing memenuhi sebahagian gerabak kereta api dari Beaufort untuk ke Kampung Pangi, Tenom bagi menyertai aktiviti berakit di jeram Sungai Padas. - Foto Lano Lan

Info

Sejarah kereta api negeri Sabah

* 1896 - Jurutera Inggeris, Arthur J West memulakan pembinaan landasan keretapi di Bukau, dekat Weston, Beaufort

* 1900 - Landasan kereta api pertama sepanjang 37 kilometer disiapkan menghubungkan pekan Beaufort dan Weston (sudah dihentikan).

* 1902 - Pembukaan landasan kereta api sepanjang 86 kilometer dari Beaufort ke Kota Kinabalu.

* 1905 - Pembukaan landasan kereta api sepanjang 48 kilometer dari Beaufort ke Tenom.

* 1906 - Pembukaan landasan kereta api sepanjang 16 kilometer dari pekan Tenom ke Melalap (sudah dihentikan).

KERANI tiket Keretapi Negeri Sabah menunjukkan tiket perjalanan dari Stesen Pekan Beaufort menuju ke Stesen Halogilat. - Foto Lano Lan

Tambang

* Beaufort - Tenom: RM2.75

* Beaufort - Pangi: RM2.20

* Beaufort - Rayoh: RM1.65

* Beaufort - Halogilat: RM1.20

* Beaufort - Saliwangan Baru: RM0.90

* Beaufort - Kota Kinabalu: RM4.80

Berita Harian X