Ahad, 8 Mei 2016 | 12:09am
KANDUNGAN zink yang tinggi di dalam tiram juga turut dikaitkan dengan testosterone terutama bagi kaum lelaki yang turut dihubung kait dengan faktor kesuburan. - Foto Badrul Kamal Zakaria
TIRAM adalah hidupan laut yang popular terutama dalam kalangan masyarakat Cina kerana kandungan mineralnya yang penting.

Tiram tingkatkan tenaga kelakian

MUAR: Muara Sungai Muar dengan persekitaran air yang masih bersih dan kaya dengan plankton, membolehkan tiram berkualiti tinggi membiak di kawasan terbabit.

Selain Sungai Muar, hanya beberapa lokasi di negara ini menjadi habitat hidupan akuatik itu seperti di Perak dan Pulau Pinang.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid, berkata tiram adalah hidupan laut yang popular terutama dalam kalangan masyarakat Cina kerana kandungan mineralnya yang penting.

 

Katanya, isi tiram mengandungi kalsium, zink dan vitamin yang tinggi, selain kandungan kalorinya yang sangat rendah menjadikannya diet yang sesuai untuk dimakan atau diproses untuk dijadikan bahan tertentu seperti sos dan kosmetik.

"Di Malaysia, ada dua jenis iaitu tiram yang dimakan dan tiram mutiara yang sering dijadikan sebagai bahan untuk pembuatan alat kosmetik seperti yang giat diternak di Sabah.

"Selain itu, kandungan zink yang tinggi di dalam tiram juga turut dikaitkan dengan testosterone terutama bagi kaum lelaki yang turut dihubung kait dengan faktor kesuburan, sekali gus menjadikan tiram turut menjadi makanan pilihan," katanya.

DI Malaysia, ada jenis tiram yang dimakan dan tiram mutiara. - Foto Badrul Kamal Zakaria

TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Dr Mohd Effendy yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur UMT, berkata tiram juga dikenali sebagai haiwan penapis kerana insang akan menapis bahan di dalam air untuk dijadikan makanan.

 

"Sebagai hidupan yang tidak bergerak, tiram memerlukan kualiti air dan kandungan plankton yang tinggi untuk hidup dengan subur dan membiak. Sebarang pencemaran di dalam air boleh menyebabkan tiram mati atau membantutkan pembesarannya.

 

"Justeru, kawasan di Sungai Muar yang turut dipercayai mempunyai tiram jenis terbaik di dunia disebabkan kualiti airnya yang bersih, tidak mempunyai pencemaran, di samping kehadiran plankton yang tinggi," katanya.

Beliau yang juga penyelidik di Institut Bioteknologi Marin Malaysia, berkata kandungan plankton berbeza sama ada daripada segi kualiti atau jenis daripada satu tempat dengan tempat yang lain.

"Itu yang kita perlu kaji. Seperti juga ikan, ada orang kata ikan di Pontian lebih enak berbanding ikan di kawasan lain di Johor, ia juga disebabkan plankton. Fakta yang sama juga turut berlaku pada tiram dan kuda laut.

"Sungai Muar menjadi habitat semula jadi tiram berikutan kewujudan plankton di lokasi terbabit bersesuaian dengan keperluan hidupan akuatik itu," katanya.

 

Mengenai kaedah sesuai untuk menternak tiram, Dr Mohd Effendy berkata, apa yang perlu dilakukan adalah memastikan kawasan ternakan tiram itu bebas daripada sebarang pencemaran.

ISI tiram mengandungi kalsium, zink dan vitamin yang tinggi, selain kandungan kalorinya yang sangat rendah. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Azuan Hussein, 35, menimbang tiram Sungai Muar, sebelum dijual pada harga RM8 sekilogram atau RM10 selonggok di gerainya dekat Parit Bunga, Tanjung Agas. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Untuk memelihara atau menternak tiram ini perlu diberi perhatian yang tinggi kerana ia memerlukan kualiti air yang bersih. Di Australia sebagai contoh, di mana sahaja ada air bersih, maka tiram akan dapat hidup dengan baik.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan kawasan yang ingin diternak turut mengandungi plankton kerana tiram antara spesies hidupan akuatik yang tidak bergerak," katanya.

 

Beliau berkata, selain itu kualiti air antara satu kawasan dengan kawasan lain juga perlu diambil kira kerana ia juga boleh menyebabkan berlaku perbezaan yang amat ketara.

"Sebagai contoh, dalam kajian saya mengenai kuda laut sebelum ini, kuda laut yang bernilai tinggi adalah dari kawasan Gelang Patah, Johor dan kita cuba membiaknya di Terengganu kerana kandungan airnya yang bersih dan bebas lumpur.

 

"Bagaimanapun apabila kita meletak kuda laut dalam akuarium dengan menggunakan air laut di Terengganu, kuda laut terbabit mengalami keretakan pada kulitnya sebelum menggelupas dan akhirnya mati," katanya.

 

Beliau berkata, keadaan air, kualiti air dan kehadiran plankton yang sesuai amat diperlukan bagi setiap haiwan akuatik termasuk tiram bukan sahaja untuk hidup, malah menjadi faktor penentu haiwan terbabit untuk berkembang biak pada masa depan.

 

 

Berita Harian X