Ahad, 8 Mei 2016 | 12:14am
PHILLIPS Gadabout Moped sukar ditemui kerana dipercayai hanya ada empat motobasikal seperti ini di Malaysia. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
LAMPU depan BSA Bantam 125cc. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PAPAN meter pada motosikal Birmingham Small Arms (BSA) Bantam. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
IMRAN menunggang motobasikal jenis Phillips Gadabout Moped. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
GALERI milik Imran menyimpan pelbagai barangan antik terletak dekat Jalan Bukit China, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Lapan tahun pujuk jual Moped antik

MELAKA: Ketika ramai anak muda gilakan kenderaan terkini dan moden, masih ada yang meminati motosikal lama atau antik, yang memerlukan perbelanjaan besar untuk memuliharanya.

  

Bagi mereka yang cintakan barangan antik, perbelanjaan besar tidak menjadi masalah asalkan memperoleh motosikal idaman.

Penggemar motosikal antik sanggup bersusah payah mendapatkan alat ganti seperti komponen enjin, lampu dan aksesori lain, yang menuntut kesabaran kerana kebanyakannya perlu diimport.

Bekas ketua chef, Imran Ong, 55, mula mengumpul pelbagai model motosikal antik sejak tahun 2001, selepas meletak jawatan di sebuah hotel terkemuka di Lumut, Perak.

  

Beliau menyifatkan motobasikal jenama Phillips Gadabout Moped dan motosikal Birmingham Small Arms (BSA) Bantam adalah koleksi pengangkutan paling berharga buat dirinya.

  

"Kedua-duanya mempunyai sejarah tersendiri kerana pernah digunakan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia pada tahun 1958 dan 1959.


PHILLIPS Gadabout Moped dibeli Imran pada tahun 2008 selepas lapan tahun berusaha memujuk pemilik asalnya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan


MOTOBASIKAL dan motosikal jenis Phillips Gadabout Moped dan Birmingham Small Arms (BSA) Bantam pernah digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia pada tahun 1958 dan 1959. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Ia diperoleh daripada seorang rakan yang juga pengumpul motosikal antik," katanya yang mengumpul lebih daripada 40 motosikal antik sebelum ini tetapi sebahagian besar sudah dijual.

Ketika ini, Imran masih mempunyai lapan motosikal antik lain sebagai koleksi peribadinya antaranya jenis BSA M20 tahun 1955 dengan 496cc, BSA M33 (tahun 1953, 500cc), Triumph Tiger Club (tahun 1956, 199cc) dan tiga vespa klasik.

Beliau berkata, Phillips Gadabout Moped berjaya dibeli pada tahun 2008 selepas kira-kira lapan tahun berusaha memujuk pemilik asalnya.

"Motobasikal ini adalah kenderaan bermotor pertama yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia pada tahun 1958, selepas menggantikan penggunaan basikal sebagai pengangkutan utama untuk menghantar surat.

  

"Ia berbeza daripada motosikal biasa kerana perlu dikayuh terlebih dulu untuk menghidupkan enjinnya. Kenderaan ini sangat jarang ditemui dan dipercayai hanya ada empat motobasikal seperti ini di Malaysia," katanya ketika ditemui di galerinya di Jalan Bukit China di sini.

Phillips Gadabout Moped bernombor pendaftaran BE 4069 itu didaftarkan pada tahun 1958 atas nama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pos, Kuala Lumpur.

  


IMRAN bersama motobasikal Phillips Gadabout Moped dan motosikal antik, Birmingham Small Arms (BSA) Bantam miliknya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

IMRAN mengayuh motobasikal jenis Philips Gadabout Moped sebelum dapat menghidupkan enjinnya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Motobasikal berwarna merah itu dikeluarkan syarikat Phillips Cycles di England, dikuasakan enjin satu lejang 49cc, menggunakan transmisi manual dua kelajuan mencapai maksimum 45 kilometer sejam.

  

"Saya berhasil membeli motobasikal ini pada harga kurang dari RM10,000 dan tidak merancang menjualnya kerana kenderaan ini sukar ditemui," katanya.

Sebuah lagi motosikal, BSA Bantam 125cc berwarna hitam, sebelum ditukar kepada warna merah, dibeli Imran pada 2002, sekitar harga sama dengan Moped.

Imran berkata, BSA Bantam itu turut mengundang nostalgia tersendiri ketika diletakkan di hadapan kedainya dekat Lorong Bukit China, apabila seorang warga emas berusia 77 tahun tiba-tiba berhenti di situ dan menangis.

"Saya keliru dengan kejadian itu lalu bertanya mengapa dia menangis. Lelaki itu menjawab, dia tidak menyangka dapat melihat semula motosikal ini (BSA Bantam) kerana pernah menunggangnya ketika bertugas sebagai posmen dulu," katanya.

  

Imran kini sedang mengambil pelbagai barangan antik untuk dikongsi semua bersama masyarakat kerana merancang membuka Galeri Pengangkutan di Jalan Bukit China untuk mempamerkan pelbagai jenis kenderaan terdiri daripada motosikal, vespa, kereta, van, pam minyak dan basikal lama.

  

Selain kenderaan, beliau kini turut mengumpul perabot jati lama, setem, wang kertas dan syiling lama serta topi tentera Jepun dan British ketika zaman perang dunia.

 

Berita Harian X