Ahad, 8 Mei 2016 | 7:24am
ORANG ramai di pekarangan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar menanti ketibaan jenazah Wan Mohammad Khair-il. - Foto Muhaizan Yahya
ISTERI Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar, Datin Mastura Yazid (tengah) bersama anak-anaknya tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, pagi tadi. - Foto Supian Ahmad

Sultan Perak sambut jenazah Pengerusi MPOB


SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tiga dari kiri) dan Tuanku Zara Salim mencemar duli menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Wan Mohammad Khair-il di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, sebentar tadi.

Pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching membawa jenazah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu, mendarat pada jam 6.47 pagi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, mencemar duli menyambut ketibaan jenazah.

Sebaik tiba, kedua-dua Tuanku terus menaiki pesawat bertemu ahli keluarga Allahyarham serta mengaminkan doa yang dipimpin Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Pesawat membawa jenazah turut dinaiki isteri Allahyarham, Datin Mastura Yazid, 55, serta empat anak pasangan itu.


JENAZAH Allahyarham Wan Mohammad Khair-il tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang diterbangkan terus dari Pengkalan Udara Kuching menggunakan pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia. - Foto Supian Ahmad

Kira-kira 200 orang merangkumi ahli keluarga dan kenalan turut berada di LTSAS.

Suasana pilu menyelubungi LTSAS apabila isteri Allahyarham tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ketika jenazah diturunkan dari pesawat.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk dikebumikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan.

Pesawat Eurocopter AS350 Ecureuil dinaiki Allahyarham Wan Khair-il bersama lima penumpang lain, dilaporkan terputus hubungan sejak jam 5 petang Khamis lalu ketika dalam penerbangan pulang ke Kuching selepas menghadiri program rasmi sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) di Spaoh, Betong.

Berita Harian X