Ahad, 8 Mei 2016 | 4:12pm

BN konsisten bela nasib rakyat


DATUK Seri Najib Razak bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kiri) pada sidang media berkenaan kemenangan PRN-11 di Kuching, malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, semalam membuktikan parti itu konsisten dalam menjanjikan pembangunan demi membela kebajikan rakyat tempatan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata kemenangan itu sekali gus menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sehaluan dalam memastikan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran mampu dicapai bersama.

Beliau berkata, hasilnya, kesungguhan dan keikhlasan BN dalam mentadbir mendapat sokongan padu dari rakyat negeri itu.

"Sokongan ini juga menunjukkan kematangan dan keyakinan rakyat di Sarawak terhadap BN. Sesungguhnya inilah mandat buat BN untuk terus berusaha memperbaiki kekurangan untuk terus memacu transformasi demi memastikan kesejahteraan negeri Bumi Kenyalang itu berada pada tahap yang tinggi.

"Keputusan ini juga menunjukkan mesej di mana rakyat Sarawak inginkan kerajaan negeri yang kuat untuk memerintah negeri itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kekalahan teruk pembangkang pada PRN kali ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menggambarkan pakatan pembangkang tidak langsung melambangkan kesejahteraan, keamanan dan keutuhan sesebuah kerajaan yang mahu membeli mereka.

Beliau juga berharap, dengan kecemerlangan BN di Sarawak, ia sekali gus dapat mengekalkan kepimpinan untuk dijadikan panduan dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

12 dibaca
Berita Harian X