Ahad, 8 Mei 2016 | 4:28pm

TNB bayar pampasan RM3.2j

MARAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar pampasan berjumlah RM3.2 juta kepada 138 peneroka dari lima tanah rancangan FELDA di Pahang bagi tujuan pemasangan kabel elektrik.

Pengerusi Jawatankuasa FELDA negeri, Datuk Abu Bakar Harun, berkata pampasan dibayar mengikut keluasan tanah peneroka dan bilangan pokok kelapa sawit yang terpaksa ditebang.

"Pampasan ini dibayar kepada peneroka di FELDA Jengka 11, Jengka 14, Jengka 18, Jengka 19 dan Jengka 20.

"Mengikut perkiraan pihak TNB, ganti rugi RM750 dibayar bagi setiap pokok kelapa sawit yang ditebang bagi memberi laluan kepada pemasangan kabel elektrik untuk kawasan Bandar Pusat Jengka dan sekitarnya.

"Ini bermakna, setiap peneroka menerima antara RM3,000 hingga RM70,000 manakala jumlah pampasan diputuskan kerajaan negeri bagi menjaga kepentingan warga peneroka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Pampasan TNB kepada Peneroka FELDA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail dan Pengurus Besar (Pembangunan Tanah) TNB, Hashim Ismail.

Berita Harian X