Ahad, 2 November 2014 | 6:03pm

Pemasyhuran Canselor UUM baharu pada Majlis Konvokesyen ke-27

Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mencatat sejarah baharu apabila melangsungkan pemasyhuran Canselor yang baharu, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, pada majlis konvokesyen UUM, 8 November ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melantik Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Canselor UUM yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Konvensyen ke-27 itu akan bermula pada 8 hingga 12 November di Dewan Mu'adzam Shah.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata sebelum majlis penyerahan ijazah kepada graduan, istiadat konvokesyen akan dimulakan dengan pemasyhuran Canselor UUM yang baharu.

"Selepas itu, 6,608 graduan bakal menerima ijazah pada sidang konvensyen selama lima hari itu yang berlangsung sehingga 12 November," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 139 orang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan Doktor Falsafah Pengurusan, Sarjana (1,090), Sarjana Muda (5,378) dan Diploma Lepas Ijazah (1).

Mohamed Mustafa berkata, pada majlis konvokesyen itu, bekas presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) manakala komposer, penyanyi dan pelakon, Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau lebih dikenali sebagai M Nasir akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif.

"Konvokesyen kali ini cukup istimewa dengan penerima ijazah terdiri daripada kalangan Speaker Dewan, timbalan menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan penggiat seni," katanya.

Selain itu, 21 graduan sulung daripada empat program iaitu Doktor Pengurusan (1), Ijazah Sarjana Undang-Undang - Penyelidikan (1), Ijazah Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (18) dan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Media) - Penyelidikan (1) juga bakal menerima ijazah.

Sebanyak 482 graduan luar negara dari 26 negara, antaranya dari Yemen, India, China, Indonesia dan Singapura yang mengikuti pengajian di UUM akan turut menerima ijazah.

Beliau berkata, sebanyak 18 anugerah dan hadiah akan diberikan kepada 516 graduan dengan seorang graduan akan menerima Pingat Emas Canselor dan dua graduan menerima Anugerah Pelajar DiRaja.

Sebanyak 38 graduan bakal menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor yang diperkenalkan sejak 1988 manakala 455 lagi Anugerah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Sempena konvokesyen itu, UUM menganjurkan ekspo konvo bertemakan 'Mahasiswa Berintegriti Teras Kecemerlangan Negara' mulai 5 hingga 12 Nov di Tapak Ekspo, Padang Kawad Palapes dengan mendirikan 176 gerai yang menjual pelbagai barangan.

Perasmian ekspo itu akan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 5 November dan pada malam perasmian itu, pelajar UUM akan melafazkan "Ikrar Integriti Pelajar" sekali gus menjadikan UUM sebagai universiti pertama di Malaysia yang berbuat demikian. - BERNAMA

Berita Harian X