Isnin, 9 Mei 2016 | 9:50pm

81 cedera dalam kebakaran di Kaherah

KEADAAN kebakaran di kawasan komersial di tengah Kaherah.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 81 orang termasuk anggota bomba cedera dalam kebakaran di kawasan komersial di tengah Kaherah, menurut pihak berkuasa Mesir.

Kebakaran itu berlaku awal pagi di dalam Hotel Andalusia di kawasan kejiranan padat di Ataba dan Al-Mosky.

Jurucakap polis berkata, kebakaran itu bermula tidak jauh dari Masjid Al-Azhar dan merebak ke empat bangunan berdekatan, termasuk gudang barangan plastik, sekali gus menyebabkan api semakin marak.

Kawasan itu juga sesak dengan penjaja dan kedai kecil.

MENA melaporkan, bomba tentera dan Bomba Kaherah berusaha memadamkan kebakaran dan semua pelanggan hotel dipindahkan.

Penguasa Bomba Kaherah, Gamal Halawa, berkata menjelang tengah hari api berjaya dikawal walaupun 16 daripada anggota bomba dan polis turut mengalami masalah pernafasan disebabkan terhidu asap.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Khaled Megahed, berkata 81 orang mengalami kecederaan ringan dengan kebanyakan mereka mengalami masalah pernafasan dan lebam dan tiada yang melecur.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih dilakukan. - Agensi

Berita Harian X