Selasa, 10 Mei 2016 | 12:23am
AKSI Arieyal ketika berlatih di Shah Alam Go-kart Circuit. - Foto Nor Afzan
MOHD Zamri berbangga dengan prestasi yang ditonjolkan oleh Arieyal pada umur masih muda. - Foto Nor Afzan
ARIEYAL pernah mencatat masa terpantas 70 saat bagi satu pusingan litar perlumbaan. - Foto Nor Afzan
PEMINAT go-kart cilik, Arieyal. - Foto Nor Afzan
GO kart menjadi aktiviti wajib keluarga Mohd Zamri untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. - Foto Nor Afzan

Bentuk gaya hidup dengan go-kart

BINGIT litar go-kart beratap terik mentari pada jam 12 tengah hari, tidak langsung mengganggu ketenteraman peminat go-kart cilik, Arieyal Aqil Danish Mohd Zamri, 7 tahun.

Anak kepada pasangan Mohd Zamri Zainul Abidin, 35 dan Dayana Ezrin Jamaluddin, 30 ini tidak langsung kelihatan resah, sungguhpun baju keselamatan dipakainya lencun bermandi peluh.

"Baru seminggu Arieyal kebah demam panas. Kalau diikutkan memang kami enggan membawanya bermain (go-kart) hari ini, tetapi dia merajuk dan merengek-rengek untuk ke sini," kata Mohd Zamri ketika ditemui di Shah Alam Go-kart Circuit.


ARIEYAL bergambar bersama go kart yang dipandunya di Shah Alam Gokart Circuit. - Foto Nor Afzan

Itulah lokasi Arieyal bermain go-kart yang dikunjungi sejak dua tahun lalu yang menjadi aktiviti wajib mereka untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Keterujaan Arieyal terhadap go-kart sejak kali pertama dibawa ke litar berkenaan oleh Mohd Zamri.

"Pada waktu itu, saya saja bermain dan bila diberikan peluang, Arieyal menunjukkan minat terhadap sukan ini. Malah kalau tidak dibawa ke sini, dia mulalah merajuk dan kadangkala menunjukkan protes dengan menonton filem Fast and Furious berulang kali," katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat permotoran.

Hobi dimiliki Arieyal memerlukan perbelanjaan tinggi, khususnya bagi membeli peralatan diperlukan termasuk jaket keselamatan, sarung tangan dan topi keledar, yang berharga ribuan ringgit.

Namun kerana minat, anak sulungnya ke arah itu, Mohd Zamri tidak merasakan ia suatu kerugian.


MOHD Zamri dan isteri, Dayana bergambar bersama anak mereka, Arieyal dan Ariq Aramy di Shah Alam Gokart Circuit. - Foto Nor Afzan

"Arieyal sangat konsisten dengan minatnya. Malah prestasi ditonjolkan juga membanggakan malah pada umur masih muda ini, dia pernah membuat pencapaian terbaik sehingga satu minit 10 saat," katanya merujuk kepada tempoh laju Arieyal menamatkan sesuatu perlumbaan.

Kehebatan pemain dalam sukan ini, disukat menerusi kepantasan di litar.

Kalau dibandingkan dengan rakan sebaya, tidak ramai memiliki kebolehan seperti ditonjolkan Arieyal, iaitu konsisten, fokus dan paling mustahak keberanian untuk berlumba di litar.

"Biasanya budak-budak cepat bosan sebab litar panas, bingit dan terik. Tetapi Arieyal suka malah dia boleh berada di sini dari jam 10 pagi hingga 3 petang," katanya.

Pada peringkat sekarang, Arieyal memberi tumpuan pada cara pemanduan termasuk mengendalikan go kart dan memandu di selekoh bagi mempertingkatkan tempoh perlumbaan yang disasarkan menamatkan litar dalam tempoh sesingkat 45 saat.

"Kami sedang membuat persediaan untuk Arieyal bermain liga go-kart dan usia yang sesuai menyertai liga ialah lapan tahun ke atas," katanya.


MOHD Zamri membetulkan jaket keselamatan Arieyal sebelum beraksi di litar. - Foto Nor Afzan

Minat dicetus ayah

Mohd Zamri gemarkan aktiviti lasak dan ekstrem sejak remaja. Namakan saja, dari terjun bungee hingga ke sukan bermotor hampir semua sudah dicubanya kerana minat dan mahu mencuba.

Selepas mengalami suatu kemalangan, beliau tidak lagi meneruskan minatnya itu.

"Selepas berkahwin saya tidak lagi berada di litar. Namun tidak sangka minat ini diwarisi Arieyal. Sejak kecil dia suka membeli majalah permotoran, malah memiliki berpuluh-puluh kereta mainan serta model mini.

"Apa yang membanggakan saya sebab dia menjaga mainan berkenaan dengan baik, tetapi dapat membezakan antara satu kereta dengan kereta yang lain. Kalau dibawa ke pameran kereta pun, dia suka dan gemar melihat bahagian enjin," katanya yang menjelaskan anak sulungnya itu juga jenis suka bermain sendiri dan cenderung terhadap mainan berbentuk perlumbaan kenderaan berbanding permainan 'perang-perang'.


ARIEYAL sangat konsisten, fokus dan berani untuk berlumba di litar. - Foto Nor Afzan

Dayana sokong minat anak

Sementara itu, isterinya, Dayana berkata, beliau memang bimbang dengan bahaya tetapi disebabkan minat Arieyal, beliau tetap akur dan memberi sokongan. Adik Arieyal, Ariq Aramy Danish turut menemani.

Dayana yang juga pereka tari, berkata beliau dan suami sejak kecil lagi mahu mencungkil bakat anak dalam bidang digemari.

"Saya dapati anak saya lebih fokus dalam pelajaran dan pandai membahagikan masa. Dia cepat menyiapkan kerja sekolahnya kerana tahu, pada hujung minggu, dia perlu ke litar untuk bermain go-kart," katanya.

Rasa bebas

Arieyal, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, ini berkata beliau rasa bebas apabila dapat meluncur laju di litar.

"Saya rasa sangat best dan bebas. Kalau boleh saya mahu membeli sebiji go-kart," katanya peminat nombor satu jaguh sukan permotoran, Lewis Hamilton dan Rizal Ashram Ramli.

Beliau mendapat latihan daripada jurulatih, Mohd Fauzi Saifuddin yang turut mengakui kesungguhan Arieyal.

"Kalau dibandingkan dengan anak seusia dengan beliau, rata-rata budak akan bosan sebab litar ini panas, tetapi sejak dua tahun lalu melatih Arieyal, minat ditonjolkan konsisten," katanya.

INFO: Go Kart

  • Perlumbaan go-kart salah satu sukan bermotor yang mengalami wujud sejak 60 tahun ia dicipta.
  • Sukan ekstrem ini menjadi aliran dan ikutan ramai di seluruh dunia termasuk benua Asia.
  • Berdasarkan sejarah, go-kart pertama dibina pada 1956 oleh seorang warga Amerika Syarikat (AS), Art Ingels bersama jirannya, Lou Borelli di Los Angeles.
  • Kenderaan go-kart pertama dibina pada waktu itu menggunakan enjin Mc Culloch West-Bend 750 dengan rekaan minimal yang unik.

Berita Harian X