Rabu, 11 Mei 2016 | 12:57am

Kejayaan BN di Sarawak hasil perkongsian kerajaan Persekutuan, negeri - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kiri) pada sidang media berkenaan kemenangan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Kuching, baru-baru ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Perkongsian yang dijalankan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak serta kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem adalah dua faktor utama pencapaian cemerlang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri itu Sabtu lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, perkongsian itu memungkinkan banyak perkara yang tidak termimpi sebelum ini seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang sekali gus membantu meyakinkan rakyat Sarawak untuk mengundi BN.

"Lebuhraya Pan Borneo adalah projek Persekutuan yang kita laksanakan dan kesannya adalah cukup besar di Sarawak dan banyak lagi projek yang boleh saya sebutkan satu per satu.

"Jadi, orang Sarawak melihat kalau mereka nak pembangunan, agenda prasarana mereka diselesaikan, dan kalau mereka nak bawa Sarawak ke tahap lebih tinggi, mereka perlukan sebuah kerajaan negeri yang ada hubungan begitu serasi dan akrab dengan kerajaan pusat," kata Najib.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Temu Bual Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang disiarkan secara langsung malam ini.

28 dibaca
Berita Harian X