Rabu, 11 Mei 2016 | 8:36am

Trump menang West Virginia, Sanders turut di depan

Donald Trump (kiri) dan Senator Bernie Sanders.
Donald Trump (kiri) dan Senator Bernie Sanders.

WASHINGTON: Calon presiden Republikan yang dijangkakan, Donald Trump terus unggul pada pemilihan pendahuluan West Virginia semalam, demikian jangkaan rangkaian AS selepas satu persatu saingannya terkeluar dari pertandingan ke Rumah Putih.

Bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton, sudah jauh meninggalkan pesaing lain di peringkat kebangsaan dan kemungkinan besar menjadi calon, walau bergelut untuk menyingkirkan saingannya.

Menurut pengiraan CNN, dengan 2,224 perwakilan, beliau kini hampir mencapai angka 2,383 yang diperlukan untuk menang. Sanders kini mempunyai 1,448 perwakilan.

Sebagai calon tunggal Republikan, Trump dijangka menyapu bersih 34 perwakilan yang dipertaruhkan di West Virginia, hampir mencapai jumlah 1,237 perwakilan yang diperlukan untuk meraih pencalonan parti itu.

Republikan turut mengundi di Nebraska semalam.

Sementara itu, Sanders memenangi pemilihan pendahuluan Demokratik di West Virginia, menurut jangkaan rangkaian AS, sekali gus mengukuhkan pendirian untuk kekal dalam pertandingan presiden walaupun saingannya, Clinton mendahului dalam jumlah perwakilan.

Menurut CBS News, Sanders, seorang senator AS dari Vermont, mendahului dengan 48 peratus undi berbanding 43 peratus berbanding bekas setiausaha negara itu. - AFP

Berita Harian X