Rabu, 11 Mei 2016 | 11:24am

Rumah, masjid dan kedai rosak akibat ribut


Bumbung rumah penduduk di Kampung Paya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Pokok Sena, petang semalam. - Gambar Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 16 rumah di empat kampung di sekitar Pokok Sena di sini, rosak terutama bahagian bumbung selepas dipukul ribut petang semalam.

Kejadian jam 6 petang ketika hujan lebat itu turut menyebabkan kerosakan tiga kedai dan sebuah masjid.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Menerong, Kampung Telaga Mas, Kampung Paya dan Kampung Budi.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Lada, Rizuwan Abdullah, berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada mangsa untuk dihantar ke Pejabat Daerah Pokok Sena bagi membolehkan mereka mendapat bantuan melalui Tabung Bantuan Bencana secepat mungkin.

Berita Harian X