Isnin, 3 November 2014 | 8:10am

'Guna bahasa ibunda ajar BI lebih berkesan'


Felo Penyelidik Kanan Jabatan Kaunseling dan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Emeritus Isahak Haron. - Foto Syaharim Abidin

PENDEDAHAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya purata tujuh orang daripada 300 graduan tempatan yang ditemuduga oleh syarikat multinasional mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik membuktikan penguasaan bahasa berkenaan amat membimbangkan dan perlu diatasi.

Pendidikan bahasa itu sebagai bahasa kedua di negara ini sebenarnya sudah lebih 50 tahun diajar di sekolah, namun sesuatu yang pelik mengapa masih ramai gagal menguasainya.

Wartawan BH Ahad, mendapatkan pandangan pakar pendidikan yang juga juga Felo Penyelidik Kanan Jabatan Kaunseling dan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Emeritus Isahak Haron, ketua pasukan kajian mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kemudiannya ditamatkan pada tahun 2010.

Wartawan: Apakah pandangan Prof mengenai kedudukan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah rendah, menengah dan universiti sekarang di negara kita?

Prof Isahak: Rata-rata menyatakan pendapat termasuk Kementerian Pelajaran sendiri mengakui penguasaan bahasa Inggeris pelajar kita adalah agak rendah dan mereka ini ingin meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris. Ini satu dasar kementerian yang sudah tentu baik sekali. Bilangan peratus yang lemah itu boleh dilihat dalam pelbagai laporan termasuk ujian Ujian Linus (membaca dan menulis bahasa Inggeris) pada tahun 2014 yang mana 40 peratus murid sekolah kebangsaan (SK) gagal lulus tahap asas membaca dan menulis.

S: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada tahun 2003 sehingga 2010. Tidakkah ia sedikit sebanyak beri kesan kepada mereka yang melalui proses itu, yang kebanyakannya saya percaya kini sudah berada di universiti?

J: Mengikut kajian kami dan beberapa kajian lain, kesan PPSMI adalah negatif, terutama pelajar Melayu/Bumiputera di Sekolah Kebangsaan (SK) dan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Kementerian Pendidikan telah mengambil perhatian serius hal ini dan memansuhkan PPSMI beransur-ansur mulai tahun 2010. Langkah ini bijak supaya pelajar kita tidak terus merosot dalam pembelajaran sains dan matematik. Kelemahan PPSMI menyebabkan ramai kurang berminat dalam sains dan matematik dan kurang yakin untuk mengikuti aliran sains tulen di Tingkatan 4; dilaporkan hanya 29 peratus pelajar Tingkatan 3 memilih aliran sains tulen, berbanding lebih 50 peratus sebelum PPSMI.

Kesan PPSMI terhadap pembelajaran dan prestasi bahasa Inggeris juga tidak ketara, kerana rata-rata guru sains dan matematik kurang mahir dan kurang memberi tumpuan kepada aspek penulisan dan percakapan dalam bahasa Inggeris.

Kesan jangka panjang ialah ramai pelajar terus lemah sehingga ke peringkat IPT, seperti yang ditunjukkan dalam hasil Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET). Saya ingin tegaskan, asas menguasai bahasa Inggeris perlu bermula di sekolah rendah dengan pendekatan pembelajaran dan pengajaran di sekolah kebangsaan bukannya harus pendekatan yang diimport bulat-bulat dari luar negara seperti di United Kingdom (UK).

S: Adakah ini bermakna berlaku kegagalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BI pada peringkat sekolah rendah lagi?

J: Apa yang jelas ialah cara untuk meningkatkan pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah adalah dengan mengemaskan program, bahan kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu dan masa tambahan untuk bahasa Inggeris, bermula dari sekolah rendah lagi.

Pendekatan yang digunakan untuk mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL) kini adalah communicative English.

Pendekatan ini menekankan kaedah lisan (mendengar dan berbual) dulu dan kemudian membaca dan menulis. Tujuannya ialah supaya murid dapat 'berkomunikasi' lisan dalam konteks seharian, situasi bersama kawan dan keluarga, membeli barang di kedai, berbual dalam telefon dan sebagainya.

Soalnya, dalam konteks kebanyakan pelajar di sekolah, terutama di luar bandar, adakah bahasa Inggeris berfungsi atau diguna untuk lisan dalam kehidupan seharian? Rata-rata tidak. Jadi mengapa ditekankan pembelajaran kemahiran berkomunikasi begini? Pelajar yang hendak pergi belajar di luar negara, di UK dan Amerika Syarikat memang diajar communicative English pada mulanya, supaya mereka ini terus dapat berkomunikasi dalam komuniti yang mengguna bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian di sana.

S: Adakah situasi yang sama terdapat di Malaysia?

J: Berdasarkan pendekatan ini saya perhatikan susunan unit dalam buku teks bahasa Inggeris (Tahun 1 - 3) tidak berturutan untuk pengajaran dan pembelajaran BI. Oleh kerana buku teks dan buku kerja sumber utama pengajaran dan pembelajaran kebanyakan guru dan murid, maka bahan dalam buku teks BI menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran BI; dan ini membantut pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Dalam KSSR sejak tahun 2010, pendekatan mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah ditukar mengguna kaedah fonik, iaitu membunyikan semua huruf dahulu sebelum murid diajar membaca.

Murid dilatih membunyikan setiap huruf dalam sesuatu perkataan apabila hendak 'mengeja' perkataan itu. Saya perhatikan kebanyakan mereka sukar dan kekok. Dalam kaedah fonik perkataan, frasa dan ayat yang dipilih untuk melatih murid membaca 'kurang bermakna' kepada kebanyakan murid di Malaysia; perkataan yang dipilih lebih kerana 'bunyinya' dan ritma.

Sejauh manakah murid Tahun 1 SK memahami apa yang dibaca? Jika perkataan dan ayat kurang bermakna bagi kebanyakan murid sekolah kebangsaan di Malaysia, sukarlah murid mempelajari bahasa Inggeris. Kaedah ini popular diguna bagi mengajar murid yang baru belajar membaca bahasa ibunda di UK. Buku aktiviti pelajar disediakan dengan sangat cetek dan tidak mengena dengan apa yang dibaca dalam buku teks. Dalam pengajaran bahasa, menulis dan membaca itu perlu kukuh mengukuh antara satu sama lain. Ini prinsip yang perlu difahami. Sukar untuk murid sekolah kebangsaan menguasai bahasa Inggeris jika kita menggunakan buku teks dan buku aktiviti yang sedia ada. Pendekatan (fonik) ini bercelaru dan tidak sesuai dengan konteks dan keperluan di sekolah kebangsaan.

S: Jadi apakah pendekatan yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah rendah di negara ini?

J: Pendekatan saya mudah. Murid yang sudah boleh membaca dan menulis bahasa Malaysia peringkat asas, dengan mudah kita mengajarnya 2M (membaca dan menulis) dalam bahasa Inggeris, kerana asas 'membaca huruf rumi' dan mengecam perkataan sudah ada. Kita boleh mengguna kebolehan sedia ada murid untuk mengajar 2M bahasa Inggeris. Kita boleh mengguna apa yang ada dalam bahasa ibunda untuk mempelajari bahasa lain, terutama dalam konteks bahasa kedua.

Prinsip mengguna bahasa ibunda (L1) untuk mempelajari bahasa kedua (L2) sudah lama difahami dan diamalkan di Korea Selatan, Jepun dan Eropah, bahkan di California AS. Bahasa ibunda boleh diguna untuk memudahkan murid memahami makna sesuatu perkataan atau ayat.

Jabatan Pendidikan California (tahun 2012) menggalakkan guru mengguna kemahiran 2M 'native language' pelajar untuk membantu pelajar belajar BI kepada murid yang berbahasa ibundanya Sepanyol, Mexico atau Jepun di negeri itu. Di Malaysia amalan ini dianggap 'salah', dan dimomokkan belajar BI perlu diajar dalam BI tidak boleh digunakan dengan bahasa lain. Ini satu anggapan yang tidak berasaskan kajian.

Kaedah English in Context for Content (ECC), saya telah menulis panjang lebar pendekatan ini dalam sebuah kertas kerja yang dibentang dalam persidangan kebangsaan transformasi pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Kita harus mengajar 2M bahasa Inggeris dengan mengguna perkataan, ayat dan cerita yang 'bermakna' kepada kebanyakan murid di SK. Jadi dengan adanya kemahiran mengecam perkataan yang 'bermakna' maka lebih mudah dan cepat murid belajar BI. Pengajaran dan pembelajaran pun lebih menarik; dan guru lebih mudah membantu murid membuat latihan yang relevan. Penambahan perbendaharaan bahasa Inggeris murid berlaku dengan lebih cepat dan murid cepat memperluaskan perbendaharaan kata, menguasai corak ayat dan memahami 'cerita' yang bermakna. Inilah asas mempelajari bahasa kedua, atau bahasa asing.

Saya juga memperkenalkan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) untuk mengajar 2M BI. Kajian-kajian mendapati KGBK mudah dan berkesan untuk mengajar 2M BM. Sekarang ia luas juga digunakan di tadika Kemas, di sekolah rendah untuk pemulihan dan di Brunei. Saya fikir KGBK boleh diguna juga bagi mengajar awal 2M Bahasa Inggeris.

Saya perkenalkan ECC ini sebagai satu ikhtiar untuk mengatasi masalah pembelajaran BI di SK yang kurang berkesan sekarang; sebagai alternatif kepada pendekatan komunikasi dan kaedah fonik yang digunakan di SK sekarang.

1276 dibaca
Berita Harian X