Rabu, 11 Mei 2016 | 1:14pm

Guru mampu sediakan murid cemerlang di peringkat global

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hari ini menzahirkan keyakinan bahawa guru di Malaysia mampu menyediakan murid untuk berjaya di peringkat global.

Bagaimanapun, katanya, guru perlu bersedia untuk berdepan perubahan mendadak dalam tugas dan peranan mereka selaku pendidik seiring perkembangan dunia masa kini.

"Murid kita sekarang sangat terdedah kepada dunia luar, bukan setakat di negara kita tetapi mereka terdedah dengan pelbagai budaya dan cara hidup berbeza daripada serata dunia," katanya dalam catatan terbaru di portal rasmi Menteri Pendidikan di http://http://portal.tokdet.my.

Beliau berkata, impak guru terhadap muridnya bukan hanya daripada aspek pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tetapi meliputi aspek sahsiah dan pembentukan akhlak.

Katanya, beliau amat memahami bahawa perubahan landskap perguruan kini amat mencabar sehingga turut membebankan sebahagian guru.

Justeru, dalam meningkatkan kualiti guru, kementerian telah memugarkan profesion perguruan dalam Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 termasuk meninggikan syarat kelayakan kemasukan, menawarkan pakej kerjaya baharu yang membolehkan kemajuan pantas berdasarkan kompetensi dan prestasi; serta menyediakan laluan kerjaya yang berbeza berdasarkan kemahiran dan minat guru.

Mengenai keyakinannya terhadap kemampuan guru, Mahdzir berkata ini terbukti melalui keyakinan dalam diri murid yang dizahirkan melalui perbualan mereka dengannya, semasa beliau mengadakan lawatan ke sekolah.

"Semasa lawatan ke sekolah, selain daripada pemerhatian saya terhadap perubahan fizikal dalam bilik darjah, saya sering mengambil kesempatan untuk berbual sendiri dengan murid tentang apa yang mereka pelajari dan interaksi mereka di sekolah.

"Daripada respons murid itu, saya merasa kagum dengan kemampuan murid di sekolah rendah dalam menjawab soalan saya dengan lancar tanpa rasa kekok atau segan," katanya.

Menjelas lanjut, Mahdzir berkata, keupayaan murid sekolah rendah untuk bercakap dengan petah mengenai pengalaman pembelajaran mereka adalah satu pencapaian yang sangat memberangsangkan.

Katanya, ini adalah hasil didikan guru yang menggalakkan pembabitan aktif murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang dihasratkan dalam PPPM. - BERNAMA

Berita Harian X