Rabu, 11 Mei 2016 | 3:12pm

60 graduan sertai MYEP


KETUA Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Seramai 60 graduan dipilih oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk menjalani latihan intensif menerusi Program Usahawan Muda MRT (MYEP).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata graduan berkenaan akan menjalani latihan amali dan praktikal selama setahun bagi memperoleh kemahiran dan pengetahuan industri pembinaan.

Katanya, latihan praktikal di tapak pembinaan itu akan diuruskan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), manakala modul dan latihan pembelajaran lain akan diuruskan oleh MRT Corp, PUNB dan CIDB.

"Peserta juga dapat menubuhkan syarikat atau secara perkongsian selepas tamat latihan. Apabila menubuhkan syarikat, mereka boleh memperoleh kontrak yang ditawarkan bagi pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PUNB dan CIDB di Bukit Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid.

140 dibaca
Berita Harian X