Isnin, 3 November 2014 | 9:13am
SERAMAI lebih 30 individu dipercayai penyokong Saiful Bukhari berkumpul berhampiran lokasi penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP
SERAMAI lebih 30 individu dipercayai penyokong Saiful Bukhari berkumpul berhampiran lokasi penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP

Kes rayuan liwat: Hujah balas pasukan pendakwaan diteruskan hari ini

KETUA pasukan pendakwaan bagi rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (dua dari kanan) hadir bagi meneruskan hujah balas kes liwat kes itu di Istana Kehakiman di sini, hari ini. - Foto Mohd Shahril Badri Saali

PUTRAJAYA: Hujah balas pasukan pendakwaan bagi pendengaran rayuan terakhir kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari kedua hari ini, diteruskan pagi ini.

Pasukan itu diketuai peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee yang tiba di pintu Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, pada jam 8.45 pagi akan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Sementara Anwar diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan peguamnya tiba kira-kira jam 9 pagi.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Shafee dijangka menyambung hujahnya pagi ini bagi menjawab beberapa keterangan dibangkitkan peguam bela berkaitan integriti DNA dan kredibiliti saksi, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

DATUK Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada hari kelima rayuan kes liwat di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Shahril Badri Saali

Pada Jumaat lalu, Shafee membalas hampir menyeluruh hujah keraguan yang dibangkitkan pasukan peguam bela berhubung kebenaran dakwaan Mohd Saiful diliwat Anwar.

Antara yang disentuh pada hujah balas hari pertamanya termasuk perlakuan liwat itu benar dan wujud, Mohd Saiful saksi yang jujur serta berlaku tekanan emosi dan penderaan seksual pada mangsa.

Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar, 67, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd Saiful, iaitu bekas pembantu peribadinya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan dengan memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee dijangka meneruskan hujahnya sehingga esok, sebelum menyerahkan kepada panel lima hakim itu menilai dan membuat keputusan.

Berita Harian X