Khamis, 12 Mei 2016 | 12:05am
HARRIS Baba jejaka kelahiran Singapura yang berdarah kacukan Pakistan, Cina dan Iran. - Foto Amirudin Sahib

Harris Baba rimas dikaitkan dengan Zayn Malik


ARTIS berwajah kacak persis bekas anggota kumpulan One Direction, Zayn Malik, Harris Baba menjelaskan dirinya kurang selesa sering dikaitkan dengan penyanyi antarabangsa itu.

Biarpun beliau pada mulanya tidak ralat digelar "Zayn Malik Malaysia", Harris ingin mencipta nama dan menapak dalam persada seni tempatan berlandaskan bakatnya sendiri.

"Pada mulanya saya tidak kisah apabila ramai yang mengaitkan saya dengan Zayn Malik, namun lama kelamaan saya menjadi kurang selesa pula diberi gelaran itu. Mungkin kerana saya tidak mahu menumpang nama penyanyi popular antarabangsa berkenaan.

"Saya mahu mereka di luar sana mengenali saya sebagai Harris Baba dan mengenali personaliti sebenar saya. Sebagai seorang yang ingin menapak dalam bidang seni, saya menginginkan identiti tersendiri ditonjolkan kepada ramai seiring dengan produk yang ditampilkan.

"Saya enggan dilihat menumpang populariti Zayn Malik dan dikenali hanya kerana mempunyai wajah seiras dengannya. Diharapkan mereka di luar sana dapat turut sama menyokong single sulung saya yang berjudul Katakan," katanya kepada BH.

HARRIS enggan dilihat menumpang populariti Zayn Malik. - Foto Amirudin Sahib

HARRIS Baba kurang selesa kerana sering dikaitkan dengan bekas anggota kumpulan One Direction, Zayn Malik (kiri). - Foto Amirudin Sahib

Jejaka kelahiran Singapura berdarah kacukan Pakistan, Cina dan Iran ini tampil dengan single sulung berkenaan sebagai taruhan pertamanya sebagai penyanyi.

Mengakui kekok berbahasa Melayu, Harris bagaimanapun menjelaskan cuba memperbaiki kelemahannya itu secepat mungkin.

"Saya mengakui kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, namun enggan menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk terus mengorak langkah dalam bidang seni di negara ini. Antara inisiatif yang diambil adalah dengan berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu sebagai latihan.

"Selain itu, saya juga tampil dengan single Katakan sebagai usaha untuk memperbaiki bahasa Melayu saya. Tidak mahu single yang dinyanyikan itu kedengaran kekok dan pelat pula nanti. Setiap kali sebelum membuat persembahan, saya mengambil langkah berlatih berkali-kali untuk memberikan hasil yang terbaik," ujar Harris.

Beliau memulakan langkah dalam bidang seni dengan menceburi dunia lakonan dan peragaan. Kemudian, jejaka ini berjinak-jinak melebarkan sayap mencuba cabang seni lain iaitu nyanyian.

Jejaka berusia 25 tahun itu menegaskan, beliau enggan mensia-siakan peluang keemasan diberikan oleh pihak pengurusan dan berbangga mendapat kepercayaan penyanyi popular, Faizal Tahir, untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

HARRIS memulakan langkah dalam bidang seni dengan menceburi dunia lakonan dan peragaan. - Foto Amirudin Sahib

SINGLE sulung Harris yang berjudul Katakan adalah taruhan pertamanya sebagai penyanyi. - Foto Amirudin Sahib

Selain Faizal, single sulung Harris itu diterbitkan hasil kerjasama Mike Chan dan Ezra Kong.

Mengulas mengenai kumpulan lelaki yang diberi nama Karla yang pernah dianggotainya sebelum ini, Harris menjelaskan ia antara pertaruhan beliau untuk menapak dalam bidang nyanyian. Beliau bagaimanapun memilih untuk terus berjuang sebagai penyanyi solo.

"Benar saya pernah menganggotai kumpulan Karla yang berperanan sebagai band yang diinspirasikan daripada One Direction. Bagaimanapun, saya berasa lebih selesa berjuang sebagai penyanyi solo. Namun saya menghargai usaha Awi Rafael sebagai pengasas kumpulan itu.

"Ia menjadi antara usaha saya untuk mencuba nasib sebagai penyanyi. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang oleh Uprising Entertainment kerana mengambil saya untuk bernaung di bawah pengurusan mereka," katanya.

Berita Harian X