Khamis, 12 Mei 2016 | 1:39am

Wanita siarkan rakaman bunuh diri menerusi Periscope

PARIS: Pendakwa raya Perancis semalam melancarkan siasatan kejadian seorang wanita berusia 19 tahun membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api sambil melakukan penstriman perbuatannya secara langsung menerusi aplikasi Periscope.

Kejadian di Stesen Egly selatan ibu kota ini, kelmarin adalah kontroversi terbaru melanda perkhidmatan penstriman milik Twitter, yang sebelum ini menyiarkan secara langsung aksi rogol dan serangan.

Pendakwa raya, Eric Lallement berkata, wanita Perancis tanpa nama itu 'menghantar teks kepada seorang rakan beberapa minit sebelum kematiannya supaya mereka menyedari niatnya berbuat demikian.'

"Dia juga membuat kenyataan kepada pengguna internet melalui aplikasi Periscope bagi memberi penjelasan mengenai aksinya itu," kata Lallement.

Sumber kehakiman berkata, mangsa bercakap mengenai isu 'rogol dan menamakan penyerang' ketika rakaman dibuat, menambah dakwaan itu sedang dilakukan dengan berhati-hati.

Rakaman pada saat kematian wanita itu sudah dikeluarkan daripada Periscope, namun sebahagiannya masih boleh dilihat menerusi YouTube. -AFP

Berita Harian X