Khamis, 12 Mei 2016 | 9:46pm

Pesawat terbesar dunia bakal mendarat di KLIA


PESAWAT terbesar dunia, Antonov 225 ketika mendarat di Praque Airport, Republik Czech pada 10 Mei lalu. Pesawat berkenaan dalam perjalanan menghantar generator elektrik seberat 117 tan ke Perth, Australia dan dijangka mendarat di KLIA 8 pagi Sabtu ini.- Foto NSTP

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal menerima 'tetamu istimewa' Sabtu ini apabila pesawat terbesar dunia dijadualkan mendarat di sini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Nik Anis Nik Zakaria yang mengesahkan perkara itu berkata, tujuan pesawat kargo, Antonov-225, mendarat di KLIA adalah untuk mengisi minyak.

"Pesawat itu akan mendarat di KLIA di bahagian pesawat kargo untuk mengisi minyak," katanya hari ini.

Pengendali KLIA, Malaysia Airports, kini mengendalikan lebih 70 syarikat penerbangan di KLIA dengan kehadiran penumpang sekitar 50 juta orang setahun.

Difahamkan pesawat buatan Ukraine itu akan menuju ke Perth, Australia selepas mengisi minyak di KLIA.

Pesawat Antonov 225 dilaporkan mampu terbang dengan kelajuan maksimum 850 kilometer sejam. - BERNAMA

Berita Harian X