Khamis, 12 Mei 2016 | 10:10pm

PHT mahu Piala Sumbangsih hoki di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Persatuan Hoki Terengganu (PHT) mahu menganjurkan perlawanan merebut Piala Sumbangsih antara Terengganu Hockey Team (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), akhir Julai ini.

Setiausaha kehormat PHT, Marzilaini Mohammad berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan berharap perlawanan itu dapat diadakan di padang baharu di Stadium Hoki Batu Buruk di sini.

"Kami amat berharap KHM dapat mempertimbangkan perkara ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Marzilaini, karpet lama di stadium itu sedang diganti dengan yang baharu dan kerja pemasangannya dijangka siap sepenuhnya akhir Julai ini.

Beliau berkata secara tidak langsung peminat dan penyokong THT akan dapat menyaksikan perlawanan pembuka tirai kejohanan musim ini di padang baharu jika KHM menerima permintaan itu.

Sementara itu, Marzilaini berkata persiapan THT untuk menghadapi perlawanan tersebut berjalan lancar di bawah kendalian jurulatih Sarjit Singh di Kuala Lumpur bersama skuad SUKMA negeri.

Beliau berkata seramai 12 pemain, kebanyakannya pemain kebangsaan sedang menjalani latihan pusat itu bersama skuad SUKMA.

"Kami juga akan cuba dapatkan pemain import berkaliber untuk mengekalkan Piala TNB dan Piala Liga yang dimenangi musim lalu," katanya.

Beliau berkata THT akan menyenaraikan seramai 18 pemain termasuk pemain import untuk menghadapi kejohanan berprestij itu. - BERNAMA

Berita Harian X