Khamis, 12 Mei 2016 | 10:16pm

MRT Corp beri empat kontrak RM4.2b bagi laluan SSP


KETUA Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menganugerahkan empat kontrak pakej kerja pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kepada penender yang berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata dengan pakej kerja terkini yang dianugerahkan itu, pembangunan laluan SSP boleh berjalan dengan lancar.

"Sebelum ini, kebanyakan pakej kerja sivil yang dianugerahkan. Sekarang, kami mula menganugerahkan pakej kerja sistem. Ini adalah perkembangan baik bagi laluan SSP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemberian kontrak terbabit termasuk dua pakej kerja jejambat dan dua pakej kerja sistem dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Shahril berkata, pemilihan tender yang berjaya bagi pakej kerja projek MRT adalah berdasarkan kepada penilaian tender terbaik yang mana kedua-dua aspek teknikal dan komersial tender dinilai.

Justeru, katanya, tender yang berjaya tidak semestinya tender dengan harga paling rendah.

"Penender yang berjaya bagi tren elektrik, jejambat V203 dan V210 mengemukakan harga terendah bagi tender masing-masing. Penender mempunyai rekod prestasi yang baik dan adalah syarikat terkenal dalam industri mereka.

"Saya berharap kerjasama erat akan terjalin antara MRT Corp dengan kontraktor terbabit dan yakin mereka akan dapat melaksanakan kerja sebagai kontraktor dengan baik bagi projek infrastruktur penting ini," katanya.

Pakej kerja sistem SY03 bernilai RM1.62 bilion dianugerahkan kepada HAP Consortium bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan tren elektrik dan peralatan depoh untuk laluan SSP.

Konsortium itu terdiri daripada Hyundai Rotem Company dan POSCO Engineering Co Ltd, masing-masing dari Korea dan syarikat tempatan, Apex Communications Sdn Bhd.

Pakej kerja sistem kedua, SY201 bernilai RM458.02 juta dianugerahkan kepada konsortium yang terdiri daripada Bombardier (M) Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan sistem semboyan serta kawalan tren.

Bagi pakej kerja bertingkat, V203 bernilai RM1.47 bilion dianugerahkan kepada IJM Construction Sdn Bhd untuk pembinaan dan penyiapan jejambat sepanjang 4.6 kilometer (km) dan kerja lain yang berkaitan dari Jinjang ke Portal Utara Jalan Ipoh.

Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) adalah penender berjaya bagi pakej kerja V210 bernilai RM648 juta untuk pembinaan dan penyiapan jejambat sepanjang 2.6 km serta kerja lain yang berkaitan dari Persiaran APEC di Cyberjaya ke Putrajaya Sentral.

INFO

MRT SSP

-RM1.62 bilion pakej kerja sistem SY03

-RM458.02 juta pakej kerja sistem SY201

-RM1.47 bilion pakej kerja bertingkat V203

-RM648 juta pakej kerja V210

Berita Harian X