Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:08am
HUTAN Simpan Kekal di Kuala Lumpur semakin mengecil kerana dihimpit pembangunan.
LAPORAN BH 30 April lalu.

Pemaju wajib ganti hutan simpan kekal


PUTRAJAYA: Akta Perhutanan Negara 1984 akan dipinda bagi memastikan setiap kawasan hutan simpan kekal yang digunakan untuk pembangunan diganti serta-merta.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. memberitahu BH, ia antara lain bagi memastikan komitmen negara mengekalkan 50 peratus keluasan hutan di negara ini selaras dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Katanya, kementerian juga mengambil langkah segera mencari kawasan hutan lain bagi menggantikan 40 hektar hutan yang hilang di Kuala Lumpur akibat pembangunan.

Wartawan BH, Azrul Affandi Sobry, menemubual Wan Junaidi berhubung isu itu.


KEUPAYAAN Faizul Ridzuan memiliki 23 hartanah sebelum usia 30 tahun, menarik perhatian ramai. Foto Rosela Ismail

BH (S): Selepas akhbar ini mendedahkan mengenai isu hutan simpan kekal (HSK) di Kuala Lumpur, apakah langkah drastik yang sedang kementerian gerakkan untuk menanganinya?

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (J): Jabatan Perhutanan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sudah mengenalpasti kawasan berhutan seluas 22.98 hektar di rizab hutan semulajadi dan 35.15 hektar rizab kawasan lapang dalam Mukim Petaling, Wilayah Persekutuan yang sesuai untuk diwarta sebagai Hutan Simpan Kekal bagi menggantikan kehilangan lebih 40 hektar sebelum ini. Selain itu, Kementerian juga akan meminda Akta Perhutanan Negara dengan mewajibkan semua HSK yang mahu diwarta keluar, perlu digantikan serta merta. Ini bermakna, bukan lagi ditetapkan tempoh tertentu, sebaliknya ambil hari ini, ganti hari ini juga. Selain itu, jika hutan di bandar mahu diambil, penggantian di kawasan lain tidak boleh sekadar melihat kepada saiznya saja tetapi nilainya. Maksudnya perlu diganti dengan keluasan lebih besar.

 

S: Adakah ketetapan baru itu akan turut membabitkan projek yang sudah diluluskan seperti pembinaan Lebuhraya Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE) yang dimaklumkan bakal mengorbankan hampir empat hektar kawasan di HSK Bukit Sungei Puteh?

J: Ini adalah satu masalah yang dihadapi kementerian kerana apa saja projek yang sudah kerajaan luluskan susah mahu ditarik semula kerana membabitkan risiko perundangan. Cuma, apa yang saya boleh tegaskan, sekiranya projek itu mahu diteruskan dengan tetap mahu ambil kawasan HSK, penggantian tanah hutan lain perlu dibuat serta merta. Kita lihat ada beberapa lokasi lain boleh menggantikannya termasuk di kawasan Sungai Besi. Selain itu, ada beberapa dilema dihadapi kementerian ini dalam usaha mempertahankan HSK kerana sebarang projek pembangunan, bukan saja meminta kelulusan kami tetapi di peringkat Kabinet. Jika kerajaan (Kabinet) sudah luluskan, susah untuk kementerian halang.

 

S: Jika mahu diganti semula, bagaimanakah pendekatannya dan adakah ia akan senilai dengan HSK yang hilang?

J: Ada dua pendekatan yang kita tekankan bergantung kepada nilai hutan yang mahu diambil. Jika hutan di bandar, nilaian gantian mesti lebih tinggi. Selain itu, tanah yang diganti perlu ditanam semula sama ada dengan apa saja pokok atau perlu tanam semula pokok asal seperti yang ada di hutan itu sebelumnya. Jika meranti, perlu diganti meranti.

 

S: Bagaimana pula dengan HSK di negeri lain kerana difahamkan ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Apa strategi kementerian untuk mempertahankannya?

J: Dinyatakan dalam Artikel 74 (2) Perlembagaan Persekutuan bahawa hutan dan tanah adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri dan diurus tadbir oleh Jabatan Perhutanan Negeri masing-masing. Ini yang menjadi konflik di peringkat kementerian kerana meskipun kami tidak menyokong mana-mana HSK yang mahu diwarta keluar, namun ia masih boleh diteruskan jika kerajaan negeri bersetuju. Kementerian hanya mengawal selia tetapi tidak berkuasa atas tanah negeri. Namun, saya melihat satu kemampuan lain iaitu sekiranya Majlis Tanah Negara dan kerajaan negeri bercanggah pendapat mengenai pembangunan di HSK, kita mungkin usulkan kepada Peguam Negara untuk membawa perkara itu ke mahkamah supaya satu ketetapan dibuat, sama ada kuasa boleh diberikan kepada Majlis Tanah Negara atau sebaliknya.

 


SEBAHAGIAN hutan simpan yang dicadangkan untuk pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Kelang Exsperssway (SUKE) di Hutan Simpan Sungei Puteh. - Foto Sairien Nafis

S: Sejauh mana komitmen kerajaan untuk mempertahankan hutan simpan kekal?

J: Selama ini kita sudah kehilangan lebih 86,000 hektar hutan di negara ini untuk memberi laluan kepada pelbagai projek pembangunan. Namun, setakat ini kerajaan komited untuk mengekalkan 50 peratus keluasan hutan di negara ini. Ini penting kerana dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), pengekalan kawasan hutan juga dititikberatkan. Inilah isu yang kementerian sentiasa tekankan kepada pihak berkuasa negeri kerana apa saja tindakan mereka terhadap HSK, Kerajaan Persekutuan yang akan dipertanggungjawabkan.

 

S: Bagaimana pula dengan kerajaan negeri. Adakah mereka juga akan komited?

J: Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri dengan Menteri Besar semalam (kecuali Ketua Menteri Pulau Pinang dan Sarawak tidak hadir), saya sudah nyatakan komitmen ini iaitu mahu semua hutan yang diambil perlu diganti serta merta. Perdana Menteri setuju dan nampaknya Menteri Besar juga faham. Saya beritahu mereka undang-undang akan dibuat bagi mempertahankan hutan simpan kekal dan mahu semua negeri tambahkan keluasan HSK itu. (Pindaan) Undang-undang akan dibawa ke Parlimen. Namun, ada Menteri Besar yang positif kerana kata mereka jika kementerian dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sudah menegaskan pendirian kami, mudah untuk negeri menolak sebarang permohonan pembangunan HSK pada masa depan.

 


PEMANDANGAN Hutan Simpan Bukit Nanas yang dihimpit pembangunan di Menara Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

S: Ada yang mengatakan nilai hutan di negara ini terlalu rendah dengan hanya mengambil kira nilai tanah dan asetnya saja. Apa komen Datuk seri?

J: Sebenarnya kementerian amat sedar situasi itu. Ini satu kelemahan ketara yang menjadikan hutan kita kurang bernilai sedangkan nilai sebenarnya boleh menjadi begitu tinggi jika diambil kira pelbagai faktor dan keperluan lain. Kerana itu, dalam undang-undang baru yang sudah digubal dan mendapat kelulusan kerajaan, menetapkan nilai hutan akan dilihat oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan mengambil kira nilai ekosistem juga. Maksudnya, kehilangan hutan itu perlu lihat kesan terhadap iklim, bio-diversiti dan juga eko-pelancongan. Ini akan menjadikan nilainya lebih tinggi.

 

S: Selain hutan simpan, apa yang menjadi kerisauan dan perhatian kementerian ketika ini?

J: Tanah rizab sungai. Ini satu lagi yang perlu dilihat semula kerana selama ini, ketetapan hanya 10 meter dari sungai tidak boleh diusik tetapi saya akan pinda untuk menjadikannya 20 meter. Dengan peluasan ini akan dapat melindungi sungai daripada masalah hakisan dan menyebabkan sungai menjadi cetek. Namun, ia sekali lagi bergantung kepada persetujuan kerajaan negeri kerana kuasa masih di bawah mereka. Inilah yang menjadi masalah kerana dasar kerajaan persekutuan tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.

 

Berita Harian X