Jumaat, 13 Mei 2016 | 6:00am

Ingin bebas hingga pertaruhkan nyawa

PENGALAMAN Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) mengendali isu tahfiz mendapati majoriti pentadbir sekolah tahfiz dan mudir pondok tidak mendaftar kerana ingin bebas daripada campur tangan pihak berkuasa.

Mereka beranggapan mendaftar dengan Majlis atau Jabatan Agama Negeri akan buka ruang pihak kerajaan campur tangan dalam hal pengurusan atau kurikulum yang mereka gunakan.

Dialog antara YPPM dengan mudir 11 pondok di Kedah pada 2013 mendapati mereka lebih senang berdikari dan berfungsi atas bantuan dan sedekah orang ramai, serta yuran pelajar. Seorang mudir dengan tegas memberitahu beliau rela mengendali pondoknya dalam keadaan daif asalkan tidak diganggu mana-mana pihak.

Tidak dapat dinafikan madrasah dan pondok di Malaysia, ada yang berorientasi politik. Sejak sebelum Merdeka, banyak madrasah dan pondok menjadi tempat perkaderan parti politik tertentu. Ini mudah dikenali pada warna cat luaran dan dalaman premis serta gambar yang ditampal.

Dalam kalangan madrasah dan pondok sebegini, ada pentadbir dan mudirnya beranggapan bantuan kerajaan haram diterima. Mereka juga lebih cenderung untuk tidak mendaftarkan institusi mereka dengan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Walaupun enakmen negeri memerlukan pondok didaftarkan, pihak berkuasa tidak menguatkuasakannya dengan tegas. Sudah jadi kebiasaan bahawa tiada tindakan diambil ke atas pondok tidak berdaftar. Tetapi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Pejabat Mufti Negeri menetapkan setiap pendakwah, termasuk mudir pondok mesti dapat tauliah. Mudir pondok yang hadir untuk dapat tauliah dikehendaki mendaftarkan pondok dengan Pejabat Mufti Negeri.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kebakaran di pondok, YPPM menjalankan kempen pendaftaran pondok sejak dua tahun lalu selepas mendapati hampir semua pondok tradisional di Malaysia tidak melepasi keperluan minimum dan garis panduan keselamatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2007) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Anjur kempen daftar pondok

Lawatan YPPM ke premis yang terbakar termasuk 63 pondok di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan, pada 5 Oktober 2015 mendapati pondok berkenaan tidak dilengkapi alat pemadam api. Sebanyak 14 pondok yang terbakar di Madrasah Nurul Islah, Kampung Parit Panjang di Baling, Kedah pada Mac 2013 juga tidak dapat dipadam dengan cepat kerana ketiadaan alat pemadam api. Ketiadaan pemadam api untuk memadam kebakaran di Pondok Pak Ya dekat Padang Lumut di Yan, Kedah pada 1989 adalah antara faktor mengorbankan nyawa 27 pelajar.

Justeru, YPPM mencadangkan agar diadakan perjumpaan meja bulat antara semua pemegang taruh (stakeholders) bagi membincangkan isu penting ini, termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Agama Negeri, persatuan yang mewakili pondok, sekolah tahfiz dan madrasah serta YPPM sendiri. Isu ini agak kompleks kerana membabitkan kuasa kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta sikap dan keterbukaan pentadbir dan mudir pondok.

Sebagai permulaan, peruntukan RM25 juta yang diluluskan untuk pembangunan pondok yang diumumkan Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2015 di Parlimen sudah diagihkan kepada kira-kira 120 pondok berdaftar seluruh negara pada tahun lalu dan awal tahun ini. Setiap pondok mendapat hampir RM200,000 yang diharap digunakan bagi memperbaiki, menaik taraf dan meningkatkan tahap keselamatan masing-masing.

Pada Ijtimak Pondok Malaysia Ke-2 yang akan diadakan di Universiti Malaysia Terengganu antara 22-23 Mei 2016, aspek keselamatan pondok juga bakal dibincang dengan terperinci. Ijtimak yang akan dirasmikan Menteri Besar Terengganu dan penutupannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertemakan 'Pemantapan Institusi Pondok Melalui Sistem Wakaf'. Tokoh agama, akademik dan profesional akan berbincang dengan warga pondok mencari jalan bagaimana wakaf boleh dijadikan aset atau instrumen untuk memajukan institusi pondok dan meningkatkan keselamatannya.

394 dibaca
Berita Harian X