Jumaat, 13 Mei 2016 | 5:28pm

APMM rampas hasil tangkapan RM1 juta

ZAINOL Abidin (kiri) dan anggotanya menemui ikan yang disembunyikan dalam bot selepas menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menangkap ikan di perairan Terengganu. - Foto Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan merampas hasil tangkapan RM1 juta ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 109 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Penguatkuasa APMM Terengganu, Kapten Zainol Abidin Jusoh berkata, bot nelayan Vietnam bersama seorang tekong dan lima awak-awak itu ditahan kapal Maritim Segantang yang melakukan Ops Perkasa Timur di perairan Terengganu berhampiran sempadan Kelantan, kira-kira jam 5.40 petang.

Katanya, pemeriksaan mendapati tekong bot berusia 32 tahun serta lima awak-awak termasuk tiga remaja berusia 16 tahun dan 36 dan 38 tahun tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

"Siasatan awal dilakukan mendapati bot digunakan juga tidak mempunyai lesen dan permit menangkap ikan yang sah," katanya.

Zainol Abidin berkata, bot dan nelayan bersama hasil tangkapan pelbagai jenis ikan serta sotong dianggarkan seberat kira-kira satu tan itu dibawa balik ke jeti APMM Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan awal kita dapati nilai bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan melebihi RM1 juta dan tekong serta lima awak-awak berkenaan ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Tekong dan lima awak-awak itu ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta, penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X