Isnin, 3 November 2014 | 12:52pm

JPN Kedah pastikan calon SPM terbabit bencana alam tidak tercicir

ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memastikan kesemua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tercicir sekiranya mereka terbabit dalam bencana alam seperti banjir dan puting beliung.

Pengarahnya, Datin Azuyah Hassan berkata, sekiranya terdapat calon yang terbabit dalam bencana alam, Jawatankuasa Payung yang terdiri daripada guru, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bertanggungjawab untuk mencari serta membawa pelajar itu ke pusat peperiksaan.

Jelasnya, pelajar yang terbabit dengan bencana alam akan ditempatkan di asrama sekolah mereka buat sementara waktu bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan itu seperti biasa walaupun tanpa berpakaian sekolah.

Beliau berkata, sekiranya pusat peperiksaan dilanda bencana alam seperti banjir, calon peperiksaan akan ditumpangkan di pusat peperiksaan lain agar mereka tidak tercicir dalam peperiksaan penting itu.

"Sekiranya berlaku banjir besar di negeri ini JPN dan PPD akan mencari pelbagai alternatif bagi membolehkan calon mengambil peperiksaan tersebut seperti biasa," katanya pada sidang media di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X