Isnin, 3 November 2014 | 12:52pm
SEBAHAGIAN pelajar dari dua kampung di Bagan Serai dibawa menaiki dua trak JPAM untuk menduduki SPM berikutan banjir di beberapa kawasan di Alor Pongsu, dekat sini belum pulih. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SPM: 25 pelajar terjejas akibat banjir dibawa naiki trak JPAM ke sekolah

ANGGOTA JPAM membantu pelajar SMK Alor Pongsu turun dari trak untuk pergi ke sekolah bagi menduduki SPM di Bagan Serai, hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Seramai 25 pelajar dari dua kampung di sini terpaksa dibawa menaiki dua trak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan banjir di beberapa kawasan di Alor Pongsu, dekat sini belum pulih.

Mereka antara lebih 50 pelajar dari Kampung Changkat Lobak dan Matang Pasir yang dibawa dengan kenderaan itu bagi memastikan dapat sampai ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, selepas jalan utama di situ dinaiki air.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah, Ahmad Lotfi Ismail, berkata kesemua pelajar yang terbabit banjir dipastikan hadir pada hari peperiksaan.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan bantuan pihak JPAM kerana jalan utama di sini dinaiki air akibat banjir," katanya.

"Difahamkan lebih 60 pelajar dari beberapa perkampungan terbabit banjir, jadi dengan bantuan trak JPAM kita mengangkut mereka termasuk 25 yang menduduki SPM untuk pastikan mereka dapat hadir ke sekolah.

"Selebihnya menggunakan motosikal sendiri dan terpaksa menggunakan jalan pintas untuk ke sekolah," katanya.

Berita Harian X