Isnin, 3 November 2014 | 1:29pm

Celcom, SK Planet tubuh firma e-dagang

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd dan syarikat Korea Selatan, SK Planet memeterai perjanjian kerjasama menubuhkan syarikat usaha sama Celcom Planet bagi meneroka dan mencari peluang perniagaan e-dagang di Malaysia.

Kerjasama dengan SK Planet, pemain e-dagang terkemuka di Korea, akan membolehkan Celcom meningkatkan pembabitan dalam industri digital dan membina keupayaan jangka panjang dalam ruang digital.

Perjanjian kerjasama itu dimeterai di Korea pada 31 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata dengan memanfaatkan platform dan pengetahuan operasi SK Planet di samping pengalaman dan pengetahuan Celcom mengenai pasaran tempatan, syarikat yakin kerjasama itu akan berjaya.

"Inisiatif ini menzahirkan iltizam kami mengembangkan portfolio perkhidmatan digital yang dirumus untuk mewujudkan suatu ekosistem digital dan mengembangkan sumber pendapatan yang akan memberi manfaat kepada pelanggan, penyedia perkhidmatan dan pembangun isi kandungan serta para peniaga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Celcom Planet dijangka melancar dan mengoptimumkan platform e-dagang menjelang separuh kedua 2015.

Syarikat usaha sama itu berhasrat menjadi peneraju pasaran dalam industri e-dagang Malaysia yang dijangka berkembang pesat kerana pembeli kini mencari harga berdaya saing dan pelbagai jenis produk dengan mudah.

SK Planet yang ditubuhkan pada Oktober 2011, adalah anak syarikat milik penuh SK Telecom, menerajui revolusi platform e-dagang mudah alih di Korea, yang mana hingga kini sudah memberi khidmat kepada 30 juta pelanggan dengan nilai dagangan lebih AS$5 bilion (RM16.33 bilion) pada 2013.

Selain Korea, platform e-dagang SK Planet kini sudah berkembang ke Turki dan Indonesia.

Berita Harian X