Sabtu, 14 Mei 2016 | 3:00pm

Spurs mahu tamatkan liga di atas Arsenal - Pochettino


KEDUDUKAN Tottenham Hotspur dan Arsenal.

NEWCASTLE: Ketika masa depan Rafael Benitez di Newcastle United masih tidak pasti, Mauricio Pochettino mengesahkan komitmen kepada Tottenham Hotspur minggu ini selepas bersetuju dengan perjanjian baharu yang meletakkannya di kelab itu sehingga 2021.

Kedua-dua pengurus itu akan bertemu di St James' Park esok ketika Pochettino akan cuba melengkapkan musim yang bagus dengan melihat pasukannya mengesahkan kedudukan selaku naib juara di belakang Leicester City.

Sasaran Benitez pula ialah memastikan Newcastle mengekalkan sedikit rasa hormat sebelum turun taraf ke Liga Kejuaraan.

Pochettino mencetuskan sedikit kebimbangan dalam kalangan penyokong Spurs apabila dia dilihat meninggalkan restoran bersama Alex Ferguson, bekas pengurus Manchester United, awal minggu ini.

Namun pengendali dari Argentina itu mengesahkan Ferguson bukan cuba memujuknya untuk berpindah ke Old Trafford dan menegaskan fokusnya ialah memastikan Tottenham menamatkan saingan di atas pencabar utara London, Arsenal buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

"Ketika saya muda, apabila saya memulakan karier sebagai pengurus, dia (Ferguson) sentiasa menjadi inspirasi saya, rujukan saya dan apabila anda boleh berkongsi dua jam bersama orang yang bagi saya pengurus terhebat di dunia, sejarah bola sepak, anda hanya perlu bergembira melaluinya," kata Pochettino.

"Adakah dia bertanya mengenai Manchester United? Tidak. Jika anda mengenali Sir Alex Ferguson, kita sentiasa boleh belajar daripadanya kerana dia memiliki sejarah yang menakjubkan mengenai bola sepak dan kehidupan." - AFP

Berita Harian X