Ahad, 15 Mei 2016 | 12:18am
RISTEENA Munim atau nama lengkapnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
RISTEENA bakal muncul dalam filem Anak Mami Nasi Kandaq bergandingan dengan Qi Razali yang menemui peminat pada musim raya nanti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kejayaan Ruhainies dorong Risteena lebih gigih


BERBANDING adiknya, Ruhainies, yang pantas mendaki populariti hingga membolosi Top 5 kategori Artis Baharu Wanita Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 lalu, perjalanan kerjaya Risteena Munim atau nama lengkapnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, dilihat lebih perlahan.

Memulakan kerjaya lakonan pada awal tahun 2013, gadis kelahiran Pulau Pinang ini hanya menyerlah pada musim 2016 apabila turut tersenarai dalam ABPBH 29 menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Melihat perjalanan pantas adiknya, Risteena berkata, tiada sekelumit perasaan cemburu kerana rezeki setiap manusia sudah tertulis.

"Mungkin nasib saya tidak sebaik Ruhainies apabila terpaksa mengambil masa untuk membuktikan bakat dan dikenali ramai. Saya tidak perlu cemburu dengan rezeki Ruhainies yang tiba lebih awal. Tidak timbul soal iri hati atau dengki kerana pencapaian Ruhainies menjadi pemangkin untuk saya bekerja lebih keras.

"Sebagai kakak, saya bangga dengan setiap pencapaiannya. Semua itu tidak mudah untuk dicapai, apatah lagi jika diperoleh dalam usia pembabitan yang masih setahun jagung. Ruhainies bertuah kerana tidak perlu menanti lama untuk memperkenalkan bakatnya kepada umum," katanya.


KERJAYA Risteena menyerlah pada 2016 apabila tersenarai dalam ABPBH 29 menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pemegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, berkata dia gembira dengan prestasi dan graf perjalanan kerjaya adiknya yang semakin memberangsangkan.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Risteena sering mengingatkan Ruhainies supaya berhati-hati dalam menyusun langkah.

Baginya, tidak semua pihak selesa melihat orang lain berjaya malah terdapat segelintir yang tidak berpuas hati akan menggunakan pelbagai helah untuk menjatuhkan dirinya.

"Saya sering mengingatkan adik supaya tidak leka dengan populariti dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Kami banyak berkongsi pengalaman. Selalu juga saya ditanya, tidakkah berasa diri seperti ketinggalan apabila adik berlari lebih laju sedangkan saya terlebih dulu berada dalam bidang ini?

"Ia tidak pernah menjadi persoalan kerana tidak semua insan seni bertuah seperti Ruhainies. Alhamdulillah, meskipun nama hanya menyerlah selepas tiga tahun berlakon namun saya terus diberi kepercayaan untuk memegang watak utama sama ada di kaca televisyen mahupun di layar lebar.


ADIK Risteena, Ruhainies. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Semua itu menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras dan membuktikan bakat. Kami bersaing secara sihat, malah sentiasa menyokong setiap langkahnya. Saya antara insan paling gembira apabila Ruhainies memenangi trofi Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival KL, baru-baru ini.

"Saya juga bangga apabila namanya terpilih dalam barisan Top 5 Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 29. Meskipun tewas di tangan Mira Filzah, namun semua itu menjadi permulaan yang baik kepadanya untuk mengejar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Risteena akur, populariti yang hadir ada ketika terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi. Disebabkan itu, Risteena sering mengingatkan Ruhainies supaya menjauhi kontroversi kerana ia tidak membawa sebarang manfaat, malah hanya akan mengalihkan perhatian peminat terhadap bakatnya.

Risteena mengakui, begitu sedih apabila Ruhainies terpalit kontroversi perang dingin dengan pelakon yang sedang mencipta nama, Janna Nick, baru-baru ini. Sebagai kakak, Risteena sentiasa mengambil tahu supaya emosi adiknya tidak terganggu dengan apa yang berlaku.

"Kami tinggal serumah dan sentiasa berkongsi masalah. Bukan hanya dengan Ruhainies, saya juga mengambil berat perkembangan adik-beradik yang lain. Ketika kontroversi Ruhainies dengan Janna hangat diperkatakan, saya tidak membiarkannya sendirian.


RISTEENA Munim ketika hadir pada Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya sanggup ke lokasi penggambaran drama yang dijayakan Ruhainies semata-mata untuk memberitahu, saya akan sentiasa di belakangnya biar apa pun yang terjadi. Semua yang berlaku itu adalah di luar kawalannya. Saya tidak mahu namanya menjadi sebutan kerana kontroversi.

"Tidak dinafikan, kontroversi akan menaikkan nama seseorang tetapi ia juga mampu menjatuhkan kita. Saya mahu Ruhainies berfikir dengan matang. Sering saya memberitahunya, tidak mengapa jika nama kurang dikenali asalkan tidak dibenci orang hanya kerana membiarkan diri hanyut dalam isu remeh," katanya.

Enggan menyalahkan sesiapa, malah tidak pernah sesekali menyebelahi adiknya, Risteena menyifatkan, Ruhainie dan Janna masih belum matang dalam mengendalikan emosi hingga menyebabkan masing-masing melatah sekali gus menyemarakkan lagi isu itu.

"Saya berharap, masyarakat tidak pantas menyalahkan mereka. Apa yang berlaku ini memberi pengajaran supaya mereka kembali melihat diri. Saya juga memohon masyarakat memberikan mereka peluang untuk memperbetulkan diri. Mereka tidak pernah minta untuk diheret dalam kontroversi, namun ia tidak dapat dielakkan," katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya lakonannya, Risteena yang pernah membintangi filem seperti Mamak Cupcake, Chowrasta dan Girlfriend Kontrak bakal muncul dengan Anak Mami Nasi Kandaq bergandingan dengan Qi Razali yang menemui peminat pada musim raya nanti.

Risteena kini melunaskan baki penggambaran drama Spylah Sangat, arahan Zulhan Bahar, terbitan KL Motion bergandingan dengan Zain Hamid.

Berita Harian X