Ahad, 15 Mei 2016 | 12:19am
PERNIAGAAN Rohaisham kini turut dibantu anak dan saudara bagi melayan pelanggan. Foto Iqmal Haqim Rosman
ROHAISHAM menunjukkan santan yang digunakan di dalam penyediaan cendol sagu rumbia. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Cendol sagu rumbia Rohaisham laris di Labu


SEREMBAN: Apabila sebut sahaja mengenai cendol, pasti akan terbayang pencuci mulut hijau yang dimakan bersama ais, air gula Melaka dan santan.

Cendol yang dibuat daripada tepung beras serta tepung jagung, boleh juga dimakan bersama kacang merah, jagung, durian, pulut atau tapai.

Pencuci mulut ini memang lazat apabila dimakan, apatah lagi ketika cuaca panas untuk menghilangkan dahaga.

Bagaimanapun, ramai mungkin jarang mendengar mengenai cendol sagu rumbia yang dibuat daripada tepung sagu dan menyelerakan meskipun hanya dimakan bersama ais, air gula Melaka dan santan.

Berbanding yang kebiasaannya, cendol sagu rumbia lebih enak kerana mempunyai tekstur yang lebih kenyal, selain aroma yang unik.

Cendol sagu rumbia di Negeri Sembilan hanya boleh didapati dari sebuah kedai makan dekat Kampung Lambar, Batu 11, Jalan Labu.


PENGUSAHA cendol sagu rumbia, Rohaisham Mohd Tahar. - Foto Iqmal Haqim Rosman

ROHAISHAM mengisar ais untuk membuat cendol sagu rumbia. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengusaha cendol sagu rumbia, Rohaisham Mohd Tahar, 49, berkata cendol itu mula diusahakannya sejak Ramadan pada tahun 2001.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, berkata sambutan terhadap cendol itu yang luar biasa mendorongnya membuka kedai tetap sejak tahun lalu.

"Bekalan tepung sagu rumbia iaitu bahan asas cendol itu yang tidak mencukupi menyebabkan saya hanya berniaga selama tiga hari seminggu, iaitu Jumaat hingga Ahad.

"Bagaimanapun, saya mampu menjual antara 400 hingga 500 mangkuk cendol setiap hari berniaga," kata bapa tiga anak itu yang menghasilkan sendiri tepung sagu untuk pembuatan cendolnya.  

Berikutan itu, setiap Selasa, dia akan mencari pokok sagu rumbia di sekitar kampungnya sebelum menebang untuk mendapatkan sagu.

Katanya, proses membuat tepung itu bermula dengan menyagat dan merendam sagu dalam air dan kemudian diperah seperti santan.


ROHAISHAM menunjukkan cara-cara penyediaan cendol sagu rumbia. - Foto Iqmal Haqim Rosman

ROHAISHAM menunjukkan tepung sagu yang digunakan di dalam penyediaan cendol sagu rumbia. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Sagu ini ditapis menggunakan kain dan dibiarkan selama dua jam. Sagu yang mendap ke bawah akan diambil untuk dijemur selama dua hari dan bahan ini yang kering akhirnya menjadi tepung sagu.

"Sebatang pokok rumbia mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram tepung sagu dan setiap minggu, saya mampu memperoleh dua batang pokok," katanya.

Katanya, tepung sagu diuli menjadi bulat dan direbus antara 30 hingga 40 saat, kemudian diuli semula sehingga menjadi kenyal.

Rohaisham berkata, tepung itu kemudian dimasukkan ke dalam acuan untuk membentuk cendol dan selepas direbus dalam air mendidih seketika, cendol sudah boleh dijadikan pencuci mulut.

Katanya, cendol sagu rumbia enak dimakan pada bila-bila masa bersama santan dan air gula Melaka yang turut dibuat sendiri.

Dia merancang memanjangkan tempoh hari berniaga, berbanding tiga hari sekarang kerana ramai pelanggan, termasuk dari negeri lain yang bertanya cendol itu.


CENDOL sagu rumbia. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Sebenarnya saya pernah membuka kedai enam hari seminggu, tetapi bekalan tepung sagu rumbia tidak mencukupi kerana saya sendiri terpaksa membuat bahan mentah itu dan pada masa sama, perlu menjaga kedai.

"Sekarang saya mempunyai lima pekerja termasuk anak dan saudara yang mampu menguruskan kedai," katanya yang mahu memberi tumpuan kepada penghasilan tepung sagu kerana tiada orang sanggup melakukannya kerana dianggap rumit dan remeh.

Selain berniaga di kedainya, Rohaisham turut menerima tempahan untuk majlis tertentu seperti perkahwinan dengan kebanyakan orang yang membuat tempahan mahukan cendol itu untuk menjadikan majlis mereka lebih istimewa.

INFO: Cendol Sagu Rumbia

  • Harga cendol: RM2.50 semangkuk
  • Harga dibungkus: RM2.50 dan RM5
  • Jarak kedai dari Kuala Lumpur: 57 kilometer
  • Jarak kedai dari Seremban: 18 kilometer

Berita Harian X