Ahad, 15 Mei 2016 | 12:21am
PELANCONG bergambar sebelum menyusuri Sungai Cherating untuk melihat kelip-kelip. - Foto Farizul Hafiz Awang
PELANCONG teruja untuk melihat kelip-kelip dengan lebih dekat. - Foto Farizul Hafiz Awang
PEMANDANGAN ketika menuju kawasan paya bakau yang gelap di Sungai Cherating. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kelip-kelip Cherating suka ayat cinta


KUANTAN: Ungkapan darling (sayang) dan beautiful (cantik) mungkin antara kata-kata yang manis untuk memikat atau mengambil hati seseorang yang disayangi.

Namun bagi pemandu pelancong Mohd Hafiz Abdul Majid, ayat-ayat cinta itu cukup untuk membantunya 'memikat' kelip-kelip yang mendiami Sungai Cherating dekat Kampung Cherating Lama di sini.

Ketika BH menyertai eksplorasi Sungai Cherating baru-baru ini, Hafiz, 46, membuktikan kenyataan dan keupayaannya yang seolah-olah mampu berkomunikasi hingga mampu menarik serangga terbabit.

JAKET keselamatan ada disediakan untuk pengunjung. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEMANDU pelancong, Mohd Hafiz Abdul Majid. - Foto Farizul Hafiz Awang

Sebaik tiba di kawasan paya bakau yang gelap, ketika pelancong yang dibawanya masih tercari-cari kelibat kelip-kelip, Hafiz mula 'berkomunikasi' dengan serangga bersayap berkenaan.

Mulanya dia menyuluh lampu yang kelihatan samar-samar ke arah paya bakau terbabit dan tidak lama kemudian beberapa kelip-kelip mulai terbang ke arah bot.

Ketika itu, Hafiz mula bersuara seolah-olah 'memujuk' berulang kali menggunakan ayat yang berbunyi "Hello (Helo) come down darling (turun ke bawah sayang), you are beautiful (kamu cantik)" dan semakin banyak kelip-kelip berkenaan menghampiri bot kami serta dua bot membawa pelancong lain hingga ada yang hinggap di tangan.

Teknik sama digunakannya ketika singgah di kawasan paya bakau lain apabila berjaya 'memanggil' kelip-kelip mendekati dan memberikan pengalaman indah kepada pelancong yang menyusuri Sungai Cherating sepanjang dua kilometer sambil ditemani serangga berkenaan.

MOHD Hafiz memberikan taklimat kepada pelancong sebelum menyusuri Sungai Cherating untuk melihat kelip-kelip. - Foto Farizul Hafiz Awang

Hafiz berkata, dia mula menyedari mempunyai kebolehan itu lebih empat tahun lalu iaitu selepas hampir lima tahun berkecimpung sebagai pemandu pelancong di bawah syarikat miliknya, Hafiz's Cherating Activities.

"Dahulu saya seperti pemandu pelancong lain hanya bawa pengunjung dan cari kelip-kelip secara memukul daun bakau menggunakan kayu serta menyuluhnya guna lampu suluh sedangkan tindakan itu sebenarnya menyebabkan ia tidak mahu keluar.

"Suatu hari ketika menyusuri sungai ini sendirian, secara tidak sengaja, lampu suluh yang dibawa termasuk ke dalam baju, menyebabkan cahaya terhasil kelihatan samar dan tiba-tiba kelip-kelip datang dekat tetapi bila saya keluarkan lampu suluh ia segera hilang.

"Sejak itu saya mula mengkaji dan melihat guna teropong, saya dapati kelip-kelip ini seolah-olah seperti mahu berkomunikasi antara satu sama lain. Sejak itu saya mula bercakap dengan mereka, menggunakan perkataan darling (sayang) kerana saya sayangkan kelip-kelip sebagai satu ciptaan Allah," katanya.

PELANCONG menaiki bot menuju lokasi kelip kelip di Kampung Cherating Lama.

INFO:

  • Kebolehan Hafiz berkomunikasi dengan kelip-kelip, dicatatkan dalam buku pelancongan terkemuka dunia, Lonely Planet Guide Book.
  • Hafiz dibantu beberapa pakar penyelidikan bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan unggas itu antaranya Prof Ohba Nubuyoshi dari Nippon Firefly Institute Japan.
  • Berstatus pelarian di bawah UNHCR, Hafiz menetap di Malaysia sejak 26 tahun lalu.
  • Hafiz adalah graduan bidang seni dan sejarah dari Universiti Yangon, Myanmar, sebelum lari ke Malaysia pada 1988 berikutan konflik di negara asal.
  • Sebelum menjadi pemandu pelancong, Hafiz pernah bekerja sebagai pelayan dan pencuci pinggan di restoran.
  • Miliki 3 anak hasil perkahwinan dengan penduduk tempatan, Zawiyah Ghazali, 32.

Berita Harian X