Ahad, 15 Mei 2016 | 12:22am
TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015.
MAKANAN sejuk beku dan sajian restoran makanan segera yang mempunyai kandungan kalori sangat tinggi menjadi kegemaran rakyat negara ini.
ANTARA senaman yang dilakukan Jazli dalam usaha mengurangkan berat badannya. - Foto NSTP
BERBASIKAL adalah antara rutin Jazli untuk terus kekal aktif. - Foto NSTP

Pemuda berat 180kg kini tinggal 90kg


KUALA LUMPUR: Diet kalori rendah yang disarankan Klinik Obesiti Hospital Putrajaya, adalah pendekatan terbaik berbanding kaedah lain, bagi mengurangkan berat badan, sekali gus mengatasi kegemukan.

Hakikat itu diakui Muhammad Jazli Hassan, 30, yang berhasil menurunkan berat badan daripada 180 kilogram (kg) kepada 90 kg, selepas komited kepada program yang diatur klinik terbabit selama setahun.

Penurunan itu turut menyaksikan saiz pinggangnya menyusut daripada 60 kepada 36, tanpa sebarang pengambilan ubat pelangsingan atau diet ekstrim yang semakin popular kini.

Jazli berkata, beliau nekad menurunkan berat badan secara sihat selepas berdepan masalah penolakan asid dalam usus yang teruk sehingga ulu hatinya sakit menusuk serta hidung tersumbat, selain fizikal terlalu besar.

"Sebelum mendapatkan bantuan klinik ini, saya pernah beberapa kali berusaha menurunkan berat badan termasuk mengambil pil pelangsingan tetapi semuanya gagal.

"Menerusi program klinik ini, saya berjaya kurus tanpa mengguna ubat tambahan, sebaliknya mengurangkan kalori pemakanan kepada tidak lebih 1,500 sehari, berbanding keperluan tubuh iaitu lebih 3,000 kalori.

"Kaedah ini dipanggil defisit kalori. Memang rasa lapar tetapi semua itu dianggap gangguan kepada mental dan saya lawan hingga mampu menurunkan berat badan. Dulu tidak sampai lima minit bersenam sudah tercungap, kini saya mampu berjoging dan berbasikal," katanya.

Jazli berkata, menerusi diet yang diatur, beliau makan sekerap boleh iaitu sehingga lima kali sehari tetapi pada kadar yang sedikit, selain mengelakkan pengambilan makanan bergoreng, berlemak dan berkalori tinggi.

Setiap pagi, beliau bersarapan sedikit nasi sebelum melakukan rutin senaman harian seperti berjoging, berbasikal atau ke gimnasium.

Pada waktu tengahari, beliau menjadikan buah-buahan, roti serat tinggi dan protein sebagai juadah, selain memastikan tidak terlepas makan malam pada waktu ideal iaitu sekitar jam 6 petang.

Sejak mengikuti program senaman serta menikmati menu disarankan Klinik Obesiti, Jazli kini lebih yakin tampil di khalayak, selain senang didekati ramai orang terutama yang mahu mendapatkan tips bagaimana beliau mampu menguruskan badan.

Beliau berkata, masalah obesiti pada dirinya bukan disebabkan genetik, sebalik disebabkan lahir sebagai bayi besar kerana ibunya menghidap kencing manis ketika mengandung, sebelum disusuli pemakanan tanpa kawalan hingga membesar lebih 180 kg.

PERBEZAAN fizikal Jazli ketara ketika beratnya mencapai 180kg dan kini dengan berat 90kg dalam masa setahun.

JAZLI yang berjaya menurunkan berat badan kira-kira 90 kg dalam masa setahun menerusi program kendalian Klinik Obesiti Hospital Putrajaya. - Foto NSTP

"Untuk menurunkan berat badan, mental perlu kuat. Doktor hanya membantu, selebihnya terletak pada semangat diri sendiri. Jangan percayakan ubat pelangsing," tegasnya yang kini menunggu giliran menjalani pembedahan plastik membuang lebihan kulit selepas tubuhnya menyusut.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi di Klinik Obesiti Hospital Putrajaya, Dr Masni Mohamad, berkata gaya hidup kurang bersenam tetapi mengamal pemakanan kalori tinggi serta gemarkan makanan segera, adalah punca 64 peratus rakyat negara ini, mengalami kegemukan dan obesiti.

"Akses yang mudah kepada makanan di negara ini menyumbang kepada kegemukan. Di mana saja, kini ada restoran 24 jam, membuatkan rakyat kita makan tidak ikut masa. Kebanyakan restoran ini juga menyediakan makanan yang sangat berminyak.

"Kebanyakan orang kita juga suka makanan sejuk beku dan sajian restoran makanan segera yang mempunyai kandungan kalori serta kolestrol sangat tinggi, sedangkan aktiviti harian tidak membakar tenaga yang banyak," katanya.

Beliau berkata, selain itu, faktor genetik juga menjadi punca utama ramai mewarisi masalah kegemukan dalam keluarga, selain ibu yang ada masalah kencing manis ketika mengandung sekali gus memungkinkan anak dilahirkan berisiko obesiti.

PAKAR Perunding Endokrinologi, Klinik Obesiti Hospital Putrajaya, Dr Masni Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dikendalikan Institut Kesihatan Umum (IKU) yang diterbitkan tahun lalu, mendapati Putrajaya, Melaka dan Perlis adalah negeri paling tinggi peratusan penduduknya berdepan masalah obesiti.

Tinjauan itu mendapati 64 peratus penduduk negara ini berdepan obesiti, perbezaan ketara berbanding laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan peratusan obesiti di negara ini hanya 37 peratus.

Mengulas perbezaan itu, Dr Masni berkata, ia berlaku kerana kadar indeks jisim badan (BMI) yang digunakan WHO untuk menentukan sama ada seseorang individu itu berdepan masalah kegemukan adalah lebih tinggi daripada yang digunakan NHMS.

Katanya, WHO meletakkan paras BMI melebihi 25 sebagai berat berlebihan dan 30 sebagai obesiti sedangkan NHMS menggunakan paras lebih rendah iaitu BMI 23 untuk berat berlebihan dan 27.5 untuk obesiti.

"Di Malaysia, kadar BMI yang digunakan dalam kajian NHMS lebih tepat kerana kaedah WHO tidak sesuai untuk penduduk Asia Tenggara yang memiliki masalah pengumpulan lemak berbeza berbanding mereka di benua lain.

MUHAMMAD Jazli Hassan. - Foto NSTP

ANTARA rutin senaman yang dilakukan Jazli. - Foto NSTP

"Individu yang mempunyai BMI melebihi 30 di Eropah tidak sama dengan di Malaysia. Lemak dalam tubuh individu Asia lebih banyak berkumpul di bahagian organ terutama perut, manakala orang Eropah, lemaknya di bahagian lain yang kurang berbahaya.

"Ini menjadikan risiko penyakit serius dalam kalangan rakyat Malaysia lebih tinggi pada kadar BMI rendah dan kerana itulah NHMS menggunakan kadar BMI berbeza di negara ini. Jika merujuk peratusan dikeluarkan NHMS, senarionya lebih membimbangkan," katanya.

Ketika ini, tujuh peratus kematian dalam kalangan lelaki dan 8.2 peratus wanita disebabkan oleh obesiti.

Tinjauan NHMS itu turut mendapati hanya 29.3 peratus penduduk negara ini mempunyai berat badan ideal manakala selebihnya (6.7 peratus) lagi mempunyai masalah kurang berat.

INFO: Muhammad Jazli Hassan, 30.

# 180 kg berat asal

# 90 kg berat semasa

# 1 tahun tempoh diet kalori rendah

# 1,500 kalori makanan diambil sehari

MASALAH lebih berat badan (BMI 23 ke atas)

INFO: Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mengenai obesiti di Malaysia

MASALAH LEBIH BERAT BADAN (BMI 23 ke atas)

35.8 peratus lelaki

30.9 peratus wanita

34.1 peratus masyarakat bandar

31.3 peratus masyarakat luar bandar

41 peratus penduduk berusia 50-54 tahun

36.8 peratus berkahwin

 

OBESITI (BMI 27.5 ke atas)

OBESITI (BMI 27.5 ke atas)

27.8 peratus lelaki

33.6 peratus wanita

31 peratus masyarakat bandar

29.4 peratus masyarakat luar bandar

37.5 peratus penduduk berusia 55-59 tahun

33.8 peratus berkahwin

 

JANGKA HAYAT LEBIH PENDEK DISEBABKAN OBESITI BERBANDING ORANG NORMAL

BMI                                          Tempoh pengurangan jangka hayat

40-44.9                                                  6.5 tahun

45-49.9                                                  8.9 tahun

50-54.9                                                  9.8 tahun

55-59.9                                                 13.7 tahun

 

Berita Harian X