Isnin, 16 Mei 2016 | 9:10am

Busana Deramang, Mahsuri warnai sambutan Hari Guru

LANGKAWI: Aksi guru lelaki dan wanita berpakaian lengkap pahlawan Melayu ala `Deramang' dan `Mahsuri' mewarnai sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) di sini, pagi ini.

Ketibaan guru lelaki berpakaian busana Melayu dengan tengkolok, keris dan lengkap bersampin, manakala wanita mengenakan Baju Kedah serta berselendang di tapak perhimpunan sekolah itu mendapat tepukan gemuruh lebih 850 murid sekolah itu.

Guru Besar SKPA, Hairus Salleh Harrith, berkata gimik guru memakai pakaian lengkap dengan tanjak dan keris itu bertujuan memupuk rasa cinta murid terhadap warisan budaya yang semakin pupus ditelan zaman.

"Acara lain yang turut memeriahkan sambutan sama termasuk Bacaan Perutusan Ketua Pengarah dan Menteri Pendidikan, nyanyian lagu `Guru Malaysia', sukaneka, dan persembahan pelajar serta guru," katanya.

Guru, Affendy Jaafar berkata, beliau teruja dengan acara yang dianjurkan pihak sekolah kerana memeriahkan suasana sambutan Hari Guru selain mengembalikan nostalgia busana Melayu yang semakin dilupakan.

"Pakaian ala `Deramang' dan `Mahsuri' ini selalunya kita lihat dalam filem Melayu lama dan hari ini kami bersepakat memperagakan kembali bagi menimbulkan kelainan pada Sambutan Hari Guru kali ini," katanya.

Berita Harian X