Isnin, 16 Mei 2016 | 12:32pm

BH hantar kek sempena Hari Guru

GURU Besar Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Zakri Abd Aziz (tengah) memotong kek yang diterima dari wakil Didik Berita Harian sebagai menghargai sokongan melanggan sisipan Didik di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang. Turut bersama Pegawai Pemasaran (NSD) NSTP cawangan Seremban, M. Kanagarajah (dua dari kanan). - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Dalam kemeriahan pelbagai pihak menyambut Hari Guru, akhbar Berita Harian (BH) tidak terkecuali dengan menyumbangkan kek kepada Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Eksekutif Pengedaran dan Jualan, The New Straits Times (M) Berhad (NSTP), M Kanagarajah yang mewakili BH, sebagai menghargai sokongan sekolah yang melanggan sisipan Didik, sejak lebih lima tahun lalu.

Guru Besar, Zakri Abd Aziz, berkata pihak sekolah gembira menerima tanda ingatan itu dan menjadikannya sebagai suntikan kepada guru yang sentiasa bersemangat mendidik generasi muda tanpa mengira latar belakang.

"Kami ikhlas menjalankan tanggungjawab tanpa mengharapkan sumbangan atau hadiah, namun ingatan seperti ini memberi suntikan semangat kepada kami," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekolahnya akan terus melanggan sisipan Didik kerana terbukti berkesan dijadikan alat sokongan mengajar yang membantu murid mencapai kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, membuat keputusan bersama dengan pihak sekolah mewajibkan semua murid Tahun Enam menggunakan sisipan Didik sebagai persediaan menghadapi UPSR.

"Nota dan latihan disediakan dalam sisipan Didik amat berkualiti dan menepati format ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan membantu murid menjawab soalan peperiksaan dengan baik," katanya.

Sekolah itu melanggan 500 naskhah akhbar BH termasuk sisipan Didik setiap minggu, sekali gus menjadi sekolah paling banyak membuat langganan di Negeri Sembilan.

Berita Harian X