Isnin, 16 Mei 2016 | 4:28pm
LKL International Bhd

LKL International tinjau pasaran baharu ASEAN, Afrika

KUALA LUMPUR: LKL International Bhd (LKL International), pengeluar peralatan penjagaan kesihatan, kini meninjau peluang pasaran baharu di ASEAN dan Afrika.

Pengurus Besar Kumpulannya, Lim Pak Hong, berkata sambil berusaha mengukuhkan kehadiran di pasaran tempatan dan eksport sedia ada, kumpulan juga kini meninjau peluang pasaran baharu di peringkat global.

"Kami yakin dengan kualiti produk yang dikeluarkan dan rekod prestasi kumpulan, bersandarkan eksport ke lebih 30 negara, antaranya Filipina, Hong Kong, Finland dan Australia," katanya pada sidang media selepas penyenaraian saham LKL International di Pasaran ACE Bursa Malaysia, pagi ini.

Saham pengeluar katil, peralatan persisian dan aksesori teknologi tinggi untuk sektor perubatan serta penjagaan kesihatan itu dibuka pada 35 sen berbanding harga tawaran 20 sen, untuk premium pembukaan 15 sen.

LKL International yang membut tawaran awam awal (IPO) membabitkan terbitan awam 113 juta, sebelum ini mengunjurkan untuk mengumpul pendapatan RM22.6 juta daripada IPO berkenaan.

Pak Hong berkata, setakat ini 20 peratus daripada pasaran kumpulan ada di luar negara, manakala selebihnya pasaran tempatan.

Mengulas mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, industri perkhidmatan penjagaan kesihatan tempatan kekal berdaya tahan.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan mengumumkan sasarannya untuk mencapai akses universal kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan merancang meningkatkan nisbah perubatan daripada 1.9 katil kepada 2.3 katil bagi setiap 1,000 penduduk.

"Kami percaya inisiatif terbabit adalah petanda baik bagi industri dan juga kita," katanya.

Info:

* LKL International mempunyai permodalan pasaran RM85.76 juta.

* Ia berdasarkan harga terbitan 20 sen sesaham serta modal saham modal terbitan dan berbayar 428.8 juta saham

* IPO LKL Antarabangsa mencatat lebihan langganan 92.84 kali

* Dana IPO guna untuk perbelanjaan modal yang merangkumi pembelian tiga unit Kawalan Berangka Berkomputer (CNC)

* Sasar tingkat 30 peratus kapasiti pengeluaran katil perubatan, peralatan perisian kesihatan dan aksesori teknologi

41 dibaca
Berita Harian X