Selasa, 17 Mei 2016 | 12:08am
PENGARAH muda, Syamsul Yusof. - Foto Zunnur Al Shafiq

Munafik 2 ditayang serentak di Indonesia


KUALA LUMPUR: Kejayaan diraih filem Munafik yang mencecah kutipan tertinggi RM19 juta mengejutkan hingga mencipta sejarah baharu dalam dunia sinematik tempatan.

Fenomena itu mendorong pengarah muda, Syamsul Yusof mengubah strategi. Pada mulanya, dia berhasrat menghasilkan filem Tailong, namun dengan kejayaan Munafik, Syamsul mahu menerbitkan susulan filem berkenaan terlebih dulu.

"Siapa sangka, kegagalan filem saya, KL Gangster 2 akibat filem terbabit 'bocor' di internet sebelum tayangan pada tahun 2013, ada hikmah di sebaliknya.

"Kejayaan Munafik memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya. Berikutan filem ini sukses, saya ubah perancangan dengan menjalankan penggambaran Munafik 2 disusuli Tailong.

"Insya-Allah, jika semua mengikut perancangan, penggambaran filem Munafik 2 akan bermula selepas Aidilfitri dan ditayangkan pada tahun depan," katanya kepada BH.

PENGARAH dan Pelakon filem Munafik, Syamsul Yusof. - Foto Saifullizan Tamadi

PELAKON filem Munafik, Pekin Ibrahim (kiri), Syamsul Yusof (dua dari kiri), Nabila Huda (empat dari kanan), Sabrina Ali(tiga dari kanan), Fizz Fairuz (dua dari kanan), A. Galak (kanan) bersama Penerbit Yusof Haslam (tiga dari kiri) dan Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (empat dari kiri) pada majlis pratonton filem Munafik. - Foto Saifullizan Tamadi

Tambah suami kepada aktres Putri Sarah ini, dia berhasrat mengambil pelakon Indonesia agar karyanya tembus di pasaran negara seberang.

Seperkara lagi yang dirancang, filem Munafik 2 bakal ditayangkan serentak dengan pawagam di Indonesia.

"Ada beberapa agen yang ingin membantu menayangkan Munafik di Indonesia. Tetapi saya fikir, apa gunanya kerana di zaman serba canggih ini, ia boleh ditonton menerusi internet saja.

"Jadi, lebih baik saya fikirkan strategi untuk menayangkan serentak Munafik 2 di Malaysia dan Indonesia pada tahun depan.

"Sebagai tarikan rakyat Indonesia, saya tampilkan seorang pelakon Indonesia dalam Munafik 2. Namun, semuanya masih lagi dalam perancangan," katanya.

Ditanya bagaimana plot filem susulan itu, Syamsul berkata:

"Jika Munafik menceritakan Ustaz Adam lakonan saya merawat orang, kali ini dalam Munafik 2, Ustaz Adam akan berdepan ujian," katanya.

Ditanya mengenai fenomena yang diraih Munafik selepas ditayangkan pada 25 Februari lalu, anak kepada penerbit Datuk Yusof Haslam tidak pernah menjangka karyanya mampu sukses sejauh itu.

SYAMSUL Yusof bergambar bersama pelakon utama filem Munafik, Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi

SYAMSUL Yusof pada sidang media pratonton filem Munafik. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya menghasilkan Munafik sebaik mungkin. Selepas KL Gangster 2, saya larikan diri... Bukan larikan diri, tetapi lebih kepada memencilkan diri sekejap.

"Kemudian Munafik diterima ramai, ia sangat berbaloi. Rasa terubat segala penat lelah yang dilalui saya dan kru produksi. Sebenarnya saya masih terkejut sehingga sekarang.

"Apabila renung kembali, filem saya tidak pernah gagal kecuali KL Gangster 2. Munafik memulihkan semangat saya. Sepatutnya saya perlu bersyukur dengan apa yang diraih," luahnya.

Filem Munafik mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila mencatat kutipan sebanyak RM19 juta selepas 49 hari ditayangkan.

Kejayaan Munafik mengatasi filem aksi, Polis Evo yang memperoleh RM17 juta selepas 60 hari dipertontonkan. Sebelum ini, filem Ola Bola mengutip RM16 juta dalam tempoh 39 hari tayangan.

Selain Malaysia, filem berkenaan turut menjadi filem Melayu paling laris di Singapura dan Brunei. Filem terbitan Skop Production Sdn Bhd ini adalah filem seram kedua Syamsul selepas Khurafat pada tahun 2011.

Munafik turut menampilkan lakonan Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali dan ramai lagi.

Berita Harian X