Selasa, 17 Mei 2016 | 10:39am

Aplikasi telefon bimbit bantu cari kanak-kanak hilang

BEIJING: Polis China memperkenalkan aplikasi telefon bimbit baru yang membolehkan saksi melaporkan kes kehilangan atau penyeludupan kanak-kanak dan tempat terakhir mangsa dilihat.

Platform online itu dicipta untuk mengedarkan maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Keselamatan Awam dan firma teknologi gergasi China, Alibaba Group Holding.

Sebaik kanak-kanak dilaporkan hilang, polis antipenyeludupan manusia akan menyiarkan maklumat dengan segera pada platform itu.

Maklumat berkenaan kemudian akan diedarkan menerusi aplikasi telefon seperti perkhidmatan peta pemanduan dan akaun rasmi di Sina Weibo.

Orang awam akan mempunyai akses kepada maklumat itu secara langsung dalam usaha membantu polis dan pihak berkuasa lain menemui kanak-kanak berkenaan secepat mungkin.

Kenyataan rasmi biro siasatan jenayah Kementerian Keselamatan Awam berkata, lebih 5,000 polis antipenyeludupan akan mengemas kini aplikasi itu sebaik mendapat laporan kehilangan kanak-kanak.

"Sebaik kanak-kanak dilaporkan hilang dan jabatan keselamatan awam menyiarkan laporan kepada umum, maklumat akan sampai kepada pengguna aplikasi dalam lingkungan beberapa ratus kilometer dalam masa beberapa saat.

"Mereka yang menerima maklumat akan diingatkan untuk meneliti keadaan luar biasa sekitar mereka, dan menghubungi polis jika melihat suspek," kata Timbalan Inspektor Kementerian Keselamatan Awam, Chen Shiqu. - AGENSI

41 dibaca
Berita Harian X