Selasa, 17 Mei 2016 | 5:28pm

Tumpu usaha basmi kemiskinan - Raja Perlis


Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengurniakan anugerah Kerabat Diraja Perlis (DKP) kepada Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istiadat Pengurniaan Khas yang diadakan di Balai Penghadapan Istana Arau. - Foto Shahidi Shahidan

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, menitahkan kerajaan negeri supaya memberikan tumpuan khusus kepada agenda membasmi kemiskinan di Perlis, sebagai usaha membantu Malaysia mencapai status negara maju.

Titah baginda, antara fokus utama yang perlu diberikan perhatian ke arah meningkatkan kapasiti diri dalam kelompok ini ialah dengan menyediakan kemudahan pendidikan, kemahiran serta membina keyakinan diri, supaya golongan ini akhirnya dapat berdikari dan akan berjaya keluar dari kancah kemiskinan.

Selain itu, titah baginda kerajaan negeri juga perlu terus melipat-gandakan usaha merancakkan kegiatan ekonomi di Perlis yang akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan nikmat kemakmuran ekonomi yang dapat dirasai setiap lapisan rakyat.

Demikian titah baginda sempena Majlis Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran Sempena Sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-73 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau, di sini, hari ini.

Sempena istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 37 daripada 250 penerima disenarai, yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min, yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.

Terdahulu, di Balai Penghadapan, baginda Raja Perlis turut berkenaan menyempurnakan Istiadat Khas Penganugerahan Darjah Kerabat Diraja Perlis (DKP) kepada Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulllail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titahnya lagi, Raja Perlis mahu rakyat jelata khususnya barisan pentadbiran kerajaan negeri mengubah cara berfikir dan bertindak untuk mengelak daripada Perlis terus ketinggalan.

"Selagi pemikiran dan tindakan semua pihak masih di takuk lama, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat mengecapi kemajuan...jika kita masih lagi alpa, maka kita akan terus ketinggalan," titah baginda.

Berita Harian X