Selasa, 17 Mei 2016 | 9:20pm

Raja Perempuan Perlis ketuai senarai penerima darjah kebesaran


TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Perlis (DKP) kepada Tengku Fauziah Abdul Rashid pada Istiadat Khas Pengurniaan Darjah dan Pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-73 di Istana Arau, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, mengetuai senarai 250 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-73, tahun ini.

Baginda Raja Perempuan Perlis dianugerahkan Darjah Kerabat DiRaja Perlis (DKP) yang dikurniakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, dalam satu istiadat khas berlangsung di Balai Penghadapan Istana Arau, di sini, pagi tadi.

Raja Perlis, ketika istiadat sama di Balairung Seri Istana Arau, turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 36 lagi individu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min, yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.

Pengurus Besar (Perladangan) MSM Perlis Sdn Bhd, Tengku Shaharin Abu Bakar Tengku Suleiman, dianugerahkan Darjah Datuk Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSSJ) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Tujuh individu menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) membawa gelaran Datuk iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Hamdan Bahari; Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mokhzani Ismail; Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zain; Panglima Wilayah Laut III Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi, Laksamana Pertama Rosli Yoob; Panglima Operasi Latihan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk S Mahendra; Pengarah Gerak Khas di Jabatan Arah Gerak Khas Kementerian Pertahanan, Datuk Fadzil Tajudin dan Panglima 2 Briged, Datuk Mas'od Muhammad.

Dalam pada itu, seramai 36 individu dijadual menerima Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP), diikuti 28 untuk Pingat Mahkota Perlis (PMP), tiga penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 66 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 63 penerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan 17 Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Berita Harian X