Selasa, 17 Mei 2016 | 11:01pm

Malaysia mesti berpegang kepada prinsip inovasi - PM

NAJIB menyampaikan ucaptama pada Siri Syarahan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC)-Khazanah, di London, hari ini. - Foto BERNAMA
NAJIB menyampaikan ucaptama pada Siri Syarahan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC)-Khazanah, di London, hari ini. - Foto BERNAMA

LONDON: Malaysia mesti berpegang kepada prinsip inovasi, kemapanan dan keterangkuman dalam usahanya memulakan perjalanan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan utamanya kepada ahli sains dan pembuat dasar di sini, menggariskan strategi utama yang dipandu oleh prinsip terbabit.

Katanya, Malaysia berjaya bergerak melangkaui sebuah ekonomi berasaskan pertanian dan beralih kepada ekonomi berasaskan pembuatan dan perkhidmatan.

"Cabaran kami sekarang ialah bergerak ke langkah seterusnya: untuk berkembang melalui inovasi, meningkatkan produktiviti dan penggunaan pengetahuan yang lebih berkesan untuk pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih besar," katanya.

Najib, dalam rangka lawatan kerja ke London, menyampaikan ucaptama di Siri Ceramah GSIAC-Khazanah yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional Bhd di mercu tanda terkini London, The Shard.

Di lokasi sama, Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat tahunan Majlis Penasihat Sains Global dan Inovasi (GSIAC) yang diterajui Malaysia, yang menghimpunkan penerima Anugerah Nobel, sarjana terkenal, penyelidik, pemimpin perniagaan dan pegawai utama kerajaan.

Yang turut hadir, Penasihat Sains Kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid; Presiden Imperial College London, Prof Alice Gast dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar.

Dalam ucapannya yang bertemakan 'Daya Saing Global: Aspirasi Malaysia', Najib berkata, strategi kerajaan kini menjurus ke arah menjadikan perkara lebih inovatif dan mengubah kehidupan lebih ramai rakyat Malaysia.

"Kita perlu mencari cara yang lebih baik untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan dan menjadikannya lebih berkesan serta pada kos yang lebih rendah, kepada lebih ramai rakyat," katanya.

Strategi terbabit termasuk memanfaatkan kuasa transformatif sains dan teknologi dan menggalakkan keusahawanan, inovasi dan kreativiti, katanya.

"Kami mahu membangunkan kembali semua aspek sains di Malaysia supaya ia menyumbang kepada menjana idea baharu dan strategi perubahan yang akan mewujudkan kekayaan yang berpanjangan dan pekerjaan untuk rakyat kami," katanya.

Najib berkata, dalam menambahbaik bidang sains, semua bilik darjah baharu akan dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) termasuk bagi pembinaan makmal sains.

Beliau mengambil contoh penubuhan Tabung Newton-Ungku Omar, usaha bersama oleh United Kingdom (UK) dan kerajaan Malaysia yang membolehkan saintis UK dan Malaysia membangunkan inisiatif penyelidikan dan inovasi yang berpotensi untuk mengubah kehidupan.

Mengenai keterangkuman, Najib berkata, Malaysia berjaya menghapuskan kemiskinan mutlak kepada kurang daripada satu peratus.

Sejak 2009, pendapatan kumpulan isi rumah 40 peratus ke bawah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar purata kebangsaan iaitu lapan peratus.

Katanya, melalui pelaksanaan gaji minimum, kerajaan serta-merta berjaya mengeluarkan 2.9 juta orang dari kemiskinan mutlak.

"Seterusnya, kami perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang murah.

"Contohnya, kami perlu begitu serius mengenai meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran di negara kami, supaya pertumbuhan dan gaji yang lebih tinggi datang daripada peningkatan produktiviti," katanya.

Najib berkata, Malaysia perlu memberi lebih tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan.

"Kami perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada inovasi, tetapi juga mengkomersialkan inovasi. Kami perlu memberi tumpuan untuk berada di barisan hadapan dalam menggunakan dan mencipta teknologi baharu, supaya kami meraih keuntungan dan mengekalkan kelebihan daya saing jangka panjang," katanya.

Seterusnya, Najib merasmikan pejabat serantau Khazanah di London. Pejabat yang juga terletak di Shard itu akan menyokong pelaburan Khazanah dalam teknologi Eropah dan sektor lain.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X